Penulis terkenal, Faisal Tehrani berkata fatwa agamawan juga boleh menyalahi hak asasi manusia, seperti yang berlaku apabila 7 bukunya diharamkan kerana menyentuh ajaran Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.
Beliau berkata fatwa tidak patut diwartakan sebagai undang-undang dan menyeru kerajaan menunaikan janji menguar-uarkan Islam dalam persekitaran sekular.
“Buku saya diharamkan berasaskan kata-kata tertentu. Padahal saya hanya memetik kata-kata orang, seperti Ali Shariati sebagai contoh, jadi diharamkan. Tetapi 3 hakim Mahkamah Rayuan dalam penghakiman berkata mereka tidak menemui apa-apa yang boleh menggugat kestabilan negara.
“Sebab itu saya kata fatwa boleh digunakan untuk menyalahi hak asasi manusia kalau kita tidak betul-betul tangani. Sebab itu lebih baik kita kekalkan satu persekitaran yang sekular untuk Malaysia kerana persekitaran sekular mengembangkan dan menyuburkan agama dengan lebih sihat,” katanya kepada pemberita.
Faisal, atau nama sebenarnya Faizal Musa, bercakap kepada media selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.
Beliau berkata sepanjang mesyuarat itu dia berbahas tentang pendidikan dan fatwa, perkara sama yang ditimbulkannya dalam pertemuan pertama Jun lalu.
Tujuh daripada 45 bukunya diharamkan kerajaan lalu dan masih diharamkan pentadbiran hari ini atas dakwaan ia mengandungi unsur-unsur Syiah, fahaman yang dianggap menyimpang oleh pihak berkuasa agama.
Buku-buku itu ialah “Sebongkah Batu di Kuala Berang”, “Karbala”, “Tiga Kali Seminggu”, “Ingin Jadi Nasrallah”, “Perempuan Nan Bercinta”, “Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan:” dan “AKU___, MAKA AKU ADA!”
Faisal sebagai seorang penulis merasakan dirinya ditindas hanya kerana perbezaan pendapat.
“Apabila fatwa diwartakan dan menjadi undang-undang, jika anda melanggar undang-undang itu, anda boleh disumbatkan ke dalam penjara dan sebagainya. Perkara ini perlu diubah kerana fatwa cuma pendapat undang-undang,” katanya.
Faisal menyertai mesyuarat hari ini bersama ahli akademi terkenal Prof Syed Farid Al-Attas, pakar undang-undang perlembagaan Prof Shad Saleem Faruqi dan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin.
Beliau memberitahu pemberita yang dia bersetuju dengan pandangan Shad Saleem tentang keperluan mewujudkan satu majlis penasihat agama bawah Parlimen atau Majlis Raja-raja untuk mengatur hal ehwal Islam.
Faisal mengusulkan majlis itu dianggotai pakar bidang seperti sejarawan, ahli sosiologi, saintis, doktor perubatan di samping agamawan.
“Agama mempunyai banyak kaitan dengan sosiologi, antropologi dan sejarah. Kita perlu ambil semua perspektif ini dalam usaha menyebarkan agama. Jika tidak, kita akan dilihat terlalu keras,” katanya.
Sementara itu, Syed Farid pula berkata hari ini tanpa disedari banyak pihak menyebarkan kebencian dalam menangani perbezaan, terutama agamawan dan ahli politik, sehingga menyebabkan adat dan tradisi penduduk majoriti terpinggir.
“Contohnya, Syiah walaupun tergolong dalam Islam namun segelintir orang agama dan ahli politik menggelar mereka sesat dan seumpamanya. Jadi perbincangan itu menjadi perbincangan tentang hal caci maki dan penghinaan,” katanya.
Farid berkata perlakuan tidak sopan dan menyalahi adab perbahasan menampakkan masalah budaya orang Islam.
“Kita mesti mengamalkan sikap yang lebih terbuka ketika membincangkan perbezaan kerana itulah sikap yang harus diambil ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. – FMT