Gombak: Pengalaman ibu bapa apabila hari persekolahan bermula mereka terpaksa membayar wang tambahan mencecah hampir RM100 dengan dinamakan pakej tambahan harus diambil pengajaran akibat kegagalan UMNO-BN melunaskan janji mereka tahun lalu untuk memberi yuran percuma.
“Apakah maksud yuran percuma?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berhubung Bajet 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Jumaat lalu.
Katanya, yang memeningkan kepala nanti ialah guru-guru yang bertugas kerana dimarah oleh ibu bapa kerana Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah tidak tahu apa yang akan berlaku di sekolah nanti.
“Sebab itu, Najib mesti mengeluarkan kenyataan hitam putih perkara ini supaya guru-guru di sekolah senang menjawab kepada ibu bapa,” katanya.
“Jangan dimangsakan guru-guru kerana hendak meraih undi, sehingga guru-guru bermasam muka dengan ibu bapa,” katanya.
Jelas beliau lagi, Mantan PM dahulu, Tun Abdullah Badawi mengumumkan belanjawan 2008 pada 7 September 2007, mengatakan yuran percuma juga tetapi tidak dilaksanakan.
Namun begitu, menurutnya ketika sesi persekolahan baru bermula kerajaan telah mengumumkan tiga pakej bayaran tambahan (PBT) bagi menggantikan yuran sekolah. Ibu-bapa juga perlu membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang tidak kurang RM20 malahan ada yang mencecah RM100.
“Yuran PIBG terpaksa dipungut ,kerana hendak menampung beberapa kegiatan sekolah, ini semuanya gara-gara sekolah tidak cukup wang,
“Kalau benar kerajaan prihatin, PIBG tidak perlu memungut wang daripada pelajar lagi kerana ia menambahkan bebanan ibu bapa,” ujarnya.
Beliau juga mendakwa Najib tidak bercakap benar kerana memaklumkan bahawa inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia diberikan pendidikan percuma.
Pada hal, katanya Tun Abdullah Badawi sewaktu membentang perbelanjaan untuk tahun 2008 pengumumkan yuran percuma, adakah Najib lupa hal itu?.
Malahan mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), susulan selepas yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (SPM), dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dimansuhkan pada tahun sebelumnya. Tambahnya, tentu Abdullah tersenyum apabila Najib mengatakan inilah pertama kali dalam sejarah pendidikan Malaysia.
Sebab itu, tambah Idris, ibu bapa yang cerdik sudah mengatakan ini semua hanya gula-gula dan coklat untuk modal pilihan raya sahaja.
“Ibu bapa mesti hentikan pembohongan ini, jika kerajaan BN masih menipu ibu bapa dengan menolak BN di dalam PRU akan datang,” tegasnya.