Seorang penganalisis politik berkata, PKR akan bertambah kuat jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memenangi kerusi Parlimen yang disandang bekas pemimpin Barisan Nasional (BN) di Perak.
Kamarul Zaman Yusoff berkata, presiden PKR itu akan dianggap “hero” kerana berani menyahut cabaran bertanding di kerusi yang pernah dimiliki BN berbanding kerusi selamat disandang ahli Parlimen PKR.
“Kalau betul penyandang kerusi bebas itu memberikan kerusinya kepada Anwar, akan bertambahlah kekuatan PKR dan nampak ‘grand’ bila Anwar ambil alih kerusi BN.
“Sebelum ini, itu kerusi yang Pakatan Harapan (PH) kalah, jadi ia akan nampak positif di situ berbanding dengan hanya bertanding di kerusi selamat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas laporan FMT kelmarin yang memetik sumber sebagai berkata, bekas ketua pembangkang itu mungkin bertanding di kerusi yang dimenangi ahli Parlimen bebas atas tiket BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Sumber itu berkata, ahli Parlimen bebas itu menemui Anwar dan menawarkan diri untuk meletak jawatan bagi memberi laluan kepadanya.
Terdapat 2 ahli Parlimen bebas di Perak, iaitu Datuk Dr Noor Azmi Ghazali Azmi di Bagan Serai dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Bukit Gantang.
Bagaimanapun, Azmi yang meninggalkan Umno pada 24 Jun lalu dan menyokong PH, menafikan beliau pernah menemui Anwar sebelum ini.
Kamarul berkata, Anwar boleh bertanding di kerusi Parlimen yang disandang ahli PKR kerana beliau dilihat agak janggal dengan situasi politik di Perak.
Beliau menyifatkan Selayang ialah kerusi Parlimen terbaik untuk Anwar kerana lokasinya yang dekat dengan kediamannya di Bukit Segambut akan memudahkan pergerakannya.
Katanya, Anwar juga boleh bertanding di Sungai Petani yang merupakan kerusi selamat PKR.
“Tidak menjadi masalah kalau beliau mahu bertanding di negeri yang jauh dari Kuala Lumpur, cuma kalau nak dibandingkan antara Perak dengan Sungai Petani, Sungai Petani jauh lebih selesa untuk Anwar.”
Anwar sebelum ini berkata, beliau tidak tergesa-gesa menjadi perdana menteri kerana keutamaannya ialah kembali ke Dewan Rakyat.
Beliau menggesa rakyat memberi sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang memimpin negara dan berkata, berdasarkan persetujuan awal PH, peralihan kuasa boleh berlaku dalam masa terdekat dengan penyertaannya di Parlimen.
Beliau mengakui ada tawaran daripada sesetengah ahli Parlimen PKR untuk melepaskan kerusi mereka bagi memberi laluan kepadanya ke Parlimen.
Pada 6 Ogos lalu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong menyuarakan kesediaannya meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi itu.
Dua hari kemudian, Datuk Johari Abdul mengesahkan khabar angin beliau sedia melepaskan kerusi Parlimen Sungai Petani kepada Anwar yang disifatkannya seperti abangnya.
Pada 9 Ogos lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau tidak tergesa-gesa merebut jawatan perdana menteri, sebaliknya memfokuskan untuk menjadi penyokong kepada kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mengesahkan khabar angin dia sedia mengosongkan kerusi bagi membuka laluan kepada Datuk Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.