Mandat Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) secara rasmi ditamatkan semalam, dan kini bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sama ada mahu majlis itu meneruskan peranannya.
Pengerusi CEP Daim Zainuddin berkata satu laporan mengandungi saranan berhubung hal sosio-ekonomi dan kewangan akan diserahkan Dr Mahathir sebaik sahaja beliau pulang dari China.
“Tempoh mandat adalah selama 100 hari dan berakhir semalam. Apabila perdana menteri pulang, (kami) akan bertemu beliau dan mendapatkan pandangannya.
“Buat masa ini, kami telah menyelesaikan mandat yang diberikan dan kembali menjalankan tugas masing-masing,” katanya pada satu sidang media hari ini.
Bagaimanapun Daim tidak mendedahkan kandungan laporan memandangkan perkara itu terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Kita akan menghantar laporan ini apabila beliau pulang,” kata bekas menteri kewangan itu.
Daim dan semua ahli Majlis Penasihat berharap Dr Mahathir akan mendedahkan laporan tersebut kepada umum.
“Saya harap. Kami semua (ahli Majlis) berharap Dr Mahathir akan dedahkan laporan itu kepada umum.”
Tambah beliau, tugas Majlis sudah berakhir kerana menteri-menteri Kabinet telah mempelajari tugas mereka dan melakukannya dengan baik.
“Tak perlu (sambung). Kita sudah cukup orang yang berkelayakan. Bersabar dengan mereka sebelum mereka mahir (dengan tugas). Tak akan ambil masa lama,” katanya.
Daim turut menafikan dakwaan Majlis melampaui batas tugas mereka dan menguasai Kabinet.
“Saya ingin maklumkan bahawa selepas Kabinet penuh dibentuk, CEP (Majlis Penasihat) telah berunding dengan kementerian-kementerian berkaitan bagi mendapatkan maklumat dan maklum balas mereka ketika perlu,” katanya.
Terdapat beberapa dakwaan bahawa Daim dan Majlis Penasihat Kerajaan lebih berkuasa daripada Kabinet Dr Mahathir.
Pembangkang juga menegaskan Majlis Penasihat tidak bertanggungjawab terhadap sesiapa dan diberi kebebasan untuk mengheret sesiapa sahaja yang mereka mahu apabila membuat siasatan – TMI