Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong di Selangor menyaksikan perlawanan satu-lawan-satu di antara calon wanita Wong Siew Ki dari DAP, 32 tahun menentang Tan Chee Teong dari MCA, 40 tahun.
Mesej yang dibawa oleh MCA berlegar di sekitar hujah perlunya pembangkang yang berkesan di Dewan Negeri Selangor. Bagaimanapun mesej itu tidak kuat berbanding kempen DAP untuk peningkatan infrastruktur dan pembangunan awam di Balakong.
Apatah lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) lalu, mendiang Eddie Ng dari DAP meraih kemenangan dengan majoriti sebanyak 35,538 berbanding calon Pas mendapat 6,230 undi dan calon BN 5,874 undi.
Bagi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, Pakatan Harapan (PH) yang pertama kali bertanding menggunakan logo gabungan itu berada dalam kedudukan selesa.
Katanya, penyokong hanya perlu memberi penerangan mengenai program dan pelan perancangan PH di negeri Selangor dan tidak perlu berhempas pulas menjawab isu nasional sebagaimana yang terpaksa dilakukan MCA.
“Penjelasan wajib ialah mengapa tidak semua janji manifesto PH mampu ditunaikan dalam masa 100 hari kerana pihak lawan pasti akan menekankan isu ini sambil memberi gambaran seolah-olah pentadbiran PH gagal,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim pula, peluang untuk PH menang amat baik tetapi perlu kerja kuat untuk berjumpa semua pengundi melalui ceramah kelompok atau acara santai jalanan.
“Mungkin peratusan pengundi yang keluar akan menurun sebab keputusan tidak akan mengubah apa-apa. Tetapi seperti SPR, saya juga berharap peratusan yang keluar mengundi adalah tinggi untuk menunjukkan bahawa rakyat sepenuhnya menyokong Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan,” kata Speaker DUN Selangor itu.