Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membayangkan parti itu akan membentu gagasan baharu dengan PAS menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
Zahid berkata kedua-dua parti terbesar Melayu Islam sudah terlalu berperang sesama sendiri walaupun kedua-duanya mempunyai agenda yang sama.
Dalam ceramah di pentas PAS dalam kempen Pilihan Raya Kecil Seri Setia, Zahid meminta ahli PAS supaya beri ruang kepada beliau dan Umno untuk buktikan keikhlasan.
“Jika ada gagasan baru, tidak perlu bincang sekarang, PAS adalah rakan setia Umno dan BN yang akan buka ruang (untuk) direalisasikan.
“Ketepikanlah perbezaan di kalangan kita. Cukuplah. Allah sudah uji kita selama enam dekad. 60 tahun untuk meraikan perbezaan ini.
“Ini sejarah baru yang kita akan ukir. Beri peluang kepada kami untuk membuktikan. Di sini kita bermula, kita akan terjemahkan kerjasama yang erat ini,” katanya.
Ketua pembangkang itu juga mengakui sukar untuk menjelaskan kepada ahli akar umbi kedua-dua parti mengenai bentuk kerjasama yang bakal dijalinkan.
Namun ahli Parlimen Bagan Datuk itu optimis bahawa PAS akan menang lebih banyak negeri dan bersama-sama Barisan Nasional merampas Putrajaya sekiranya kerjasama tersebut direalisasikan.
“Saya tahu di akar umbi bukan senang untuk memberitahu rakan-rakan ahli PAS dan dalam Umno untuk duduk satu bumbung sebegini.
“Kalau PAS sebagai parti solo dalam PRU14 lalu, terus mempertahankan Kelantan dan mendapat kerajaan di Terengganu. Kalau PAS bekerjasama dengan Umno, dalam PRU15 banyak negeri lagi (boleh rampas) dan Putrajaya pun kita akan rampas semula.
Meskipun terdapat kemungkinan kerjasama dengan PAS, Zahid menegaskan beliau tidak akan meninggalkan parti-parti komponen dalam BN yang setia.
“Dan kita tidak akan mengenepikan rakan-rakan yang lain.
“Walaupun tinggal lima parti dalam BN, tidak apa sebab kita tidak perlu rakan yang ramai tetapi biar sedikit asalkan rakan-rakan itu yang setia, yang sanggup berhujan panas bersama,” ujarnya. – TMI