Polemik hukum Hudud yang digembar-gemburkan sejak sebulan lalu tidak lebih daripada usaha Umno-BN memfitnah Pakatan Rakyat (PR) agar gabungan itu berpecah-belah menjelang PRU-13. Menyedari BN tidak mempunyai kekuatan untuk merampas negeri-negeri yang telah jatuh ke tangan PR, maka fitnah Hudud sekurang-kurangnya boleh menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam terhadap PAS.
Sekiranya strategi itu berjaya, undi Cina dan India yang memenangkan PR pada pilihanraya 2008 lalu pasti akan kembali kepada BN. Selangor, Pulau Pinang dan Kedah akan tumbang . Biar pun Kelantan terus kekal di tangan PAS.
Strategi lapuk ini disambut oleh wartawan dan penulis bebal di media arus perdana. Pada perkiraan mereka orang bukan Islam sebaik sahaja dihadapkan persoalan Hudud akan berubah arah dalam masa sehari. Malah idea lapuk ini juga disambut oleh segelintir pengamal media alternatif
Artikel wartawan senior Jasbant Singh di Malaysiakini beberapa hari lalu misalnya, hanya mengulang retorik Umno-BN. Tidak pasti mengapakah artikel sedaif itu disiarkan kerana ia tidak membawakan idea baru yang sepatutnya menjadi kekuatan media alternatif. Perkiraan PAS -DAP akan bercakaran akibat Hudud sama sekali tidak membawa pencerahan kepada pemikiran politik di Malaysia.
Tentangan bukan Islam
Dapat difahami penentangan bukan Islam terhadap Hudud adalah kerana mereka beranggapan mempunyai hak untuk campurtangan dalam semua perkara yang berlaku di negara ini. Alasannya, Perlembagaan Persekutuan Artikel 8 (1) menjamin hak sama rata kepada semua rakyat. Namun mereka terlupa peruntukan perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama dan diperkuatkan lagi oleh deklarasi perlembagaan Artikel 11 menyatakan Islam merupakan Agama Persekutuan. Sungguh pun begitu agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.
Perdebatan agama Islam berkedudukan mengatasi agama lain telah pun melepasi beberapa kes mahkamah yang mana mahkamah sivil mengakui tidak mempunyai hak mengganggu atau mengatasi perbicaraan serta keputusan yang dibuat oleh mahkamah syariah. Demikian juga dalam pindaan Artikel 121(1A) pada 1988 yang menambah kukuh kedudukan mahkamah syariah. Bermakna, sekiranya mahkamah syariah turut menjalankan perbicaraan ke atas kes-kes jenayah yang membabitkan orang Islam maka mahkamah sivil tidak berhak mencampurinya.
Menghadapi hujah itu, kalangan bukan Islam yang menentang Hudud beralih kepada kaedah penggubalan undang-undang melalui sistem Parlimen. Di mana kesemua undang-undang mestilah dipastikan menjamin keadilan kepada semua kaum melalui undian di Dewan Rakyat. Bagaimanapun, mereka sengaja membelakangkan fakta bahawa hukum Hudud tidak menyentuh sama sekali masyarakat bukan Islam. Hukum ini terhad kepada orang Islam sahaja. Tidak timbul keadilan kepada semua kaum. Malah proses meluluskan hukum Hudud di Kelantan pada 1993 dan di Terengganu pada 2003 adalah melalui cara demokrasi sepenuhnya. Draf Hudud dibahaskan di sidang Dewan Undangan Negeri dan diundi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri secara majoriti. Tidak ada alasan untuk mendakwa undang-undang itu tidak sah atau melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Perlaksanaannya pula dibenarkan secara berasingan di negeri-negeri yang mempunyai sultan kerana hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa sultan. Hanya perlaksanaan itu memerlukan sedikit kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan polis dan jabatan penjara dalam mengendalikan pesalah Hudud.
Namun bukan Islam mempunyai pelbagai lagi kebimbangan terhadap kesan sampingan hukuman ini;
Pertama, Hudud dilihat mengerikan dan tidak bertamadun. Alasan itu perlu diperhalusi secara logik. Misalnya, kes pembunuhan kejam yang mana mayat mangsa dibakar. Adakah situasi itu tidak mengerikan? Cuma pembunuhan itu tidak dirakam untuk ditonton semula maka masyarakat tidak melihatnya sebagai kejam. Sebab itu bukan Islam memperjuangkan hak si pembunuh perlu diselamatkan maruahnya daripada melalui proses pembalasan yang ngeri serta dipertontonkan di khalayak umum.
Sememangnya Hudud disyariat oleh Allah untuk mewujudkan perasaan kegentaran di dalam hati manusia supaya tidak melakukan jenayah. Manusia akan terbayangkan kengerian pembalasan, tangan dipotong, dirotan, disula dan sebagainya sebaik sahaja terniat melakukan kekejaman ke atas manusia lain. Memang hukuman itu berkesan di negara-negara Arab yang mana indeks jenayahnya amat kecil berbanding negara Islam Malaysia. Bagaimanapun bukan Islam tidak disuruh melihat perlaksanaan hukum Hudud.
Kedua, kekeliruan bukan Islam mengenai hukuman Islam dalam perkara muamalat. Misalnya penipuan, pertelingkahan perniagaan, saman dan lain-lain. Bagi mereka sekiranya Hudud terlaksana maka semua hukuman yang membabitkan orang Islam akan dibicarakan di mahkamah syariah. Maka bukan Islam yang berniaga tetapi ditipu oleh orang Islam akan pergi ke mahkamah syariah untuk mengadu. Pastinya mahkamah syariah akan memihak kepada orang Islam.
Hudud sama sekali tidak melibatkan hal-hal jual beli atau saman malu misalnya. Jenayah seperti itu akan dibicarakan melalui undang-undang Qisas dan Takzir. Dalam kedua-dua undang-undang ini hukuman dan prosedur perbicaraannya boleh diadaptasi dari prosedur mahkamah sivil sekiranya bersesuaian dengan kehendak syariah. Begitu juga hukuman akan ditentukan melalui kebijaksanaan hakim seperti mana di mahkamah sivil. Peruntukan undang-undang untuk Qisas dan Takzir boleh digubal dalam sidang Dewan Negeri atau Parlimen sama seperti undang-undang sivil. Qisas dan Takzir adalah undang-undang yang diputuskan oleh kebijaksanaan manusia mengikut landas syariah bukan yang ditetapkan dalam al Quran.
Peristiwa paling masyhur dalam sejarah undang-undang itu ialah sewaktu Ali bin Abi Thalib ra mendakwa seorang Yahudi mencuri baju besinya. Kedua-duanya dibawa ke mahkamah syariah. Bagaimanapun Ali kalah dalam tuntutannya kerana gagal menyediakan saksi yang layak. Di luar mahkamah Yahudi itu bertemu Ali dan menyatakan kekagumannya mengenai keadilan hukum Islam kerana tidak memenangkan seorang sahabat Nabi mengatasi rakyat biasa. Lalu Yahudi berkenaan memeluk Islam kerana yakin Islam adalah agama yang adil.
Ketiga, kegelisahan bukan Islam wujudnya polis moral yang menghadkan aktiviti mereka. Polis moral wujud di Arab Saudi, Iran dan beberapa negara Arab lain. Penguatkuasa ini boleh menegur atau mengambil tindakan ringan ke atas kesalahan kecil, misalnya cara berpakaian yang menjolok mata, perbuatan biadap di tempat awam dan sebagainya.
Namun tidak jelas ketakutan bukan Islam itu kerana polis moral tidak perlu wujud di negara ini yang mempunyai nilai budaya Timur yang kuat. Lagi pun bukan Islam tidak diganggu mengenai cara berpakaian kecuali ada yang individu sanggup berjalan di tempat awam hanya berpakaian dalam. Jika itu berlaku, tanpa Hudud sekali pun polis di negara ini akan menahan individu terbabit kerana berperilaku tidak sopan.
Maruah manusia
Cuma, yang menjadi masalah adalah aktiviti hiburan dan pusat hiburan yang berkurangan. Kelab hiburan tidak wujud di Kelantan. Amat sedikit di Terengganu, Kedah atau Perlis. Di negeri-negeri majoriti orang Melayu itu masyarakat Cina dan India telah terbiasa dengan keadaan berkenaan.
Dalam hal-hal hiburan, Islam amat menitikberatkan maruah wanita. Agama Hindu dan Buddha juga menghormati maruah wanita. Hanya fahaman sekularisme Barat yang menjadikan wanita sebagai objek hiburan dan pemuas nafsu. Bolehkah diterima akal wanita di Barat yang bekerja dalam industri hiburan jika diganggu secara seksual akan mendakwa pengganggunya di mahkamah. Namun, sebaik sahaja wanita itu masuk ke kelab hiburan – tempat mereka bekerja – maka seluruh tubuhnya boleh digomol dan diperlakukan seperti haiwan.
Inilah yang tidak diterima oleh agama Islam dan tradisi Timur. Jika demikian halnya, tidak ada masalah masyarakat bukan Islam membenarkan Hudud dilaksanakan. Sebabnya, tidak banyak ruang kehidupan mereka akan berubah. Malah, sebaliknya mereka akan merasa lebih selamat kerana kadar jenayah berkurangan kesan kegentaran hati manusia melihat kengerian pesalah yang dihukum Hudud.
Di negeri yang menjadi tumpuan populasi bukan Islam seperti di pantai Barat, Hudud mustahil dilaksanakan kerana perwakilan Islam-PAS tidak mempunyai suara majoriti di Dewan Negeri bagi meluluskan Hudud.
Sekiranya masyarakat bukan Islam amat prihatin terhadap kadar jenayah yang meningkat saban tahun Hudud adalah jawapannya. Kadang-kala kelihatan aneh apabila mereka bersungguh-sungguh membela hak berkehidupan anjing dan kucing yang dikatakan didera tetapi tidak mahu menyelamatkan maruah manusia serta membiarkan manusia tercebur ke dalam industri hiburan dan seks.
Hudud di Acheh
Satu contoh yang menarik untuk diperhatikan adalah perlaksanaan undang-undang Hudud di wilayah Acheh, Indonesia. Wilayah ini mendapat hak autonomi memerintah sendiri dari kerajaan pusat pada 2007 lalu. Selepas itu Dewan Negeri meluluskan undang-undang Hudud, Qisas dan Tazkir digunapakai sepenuhnya bagi mengadili hal-hal jenayah di dalam wilayah Acheh.
Berbanding Malaysia, populasi bukan Islam agak kecil di Indonesia. Bagaimanapun, kedudukan agama Kristian sangat kuat. Kebanyakan pegawai kanan kerajaan adalah dari golongan Kristian sekular, kesan dari pemerintahan 30 tahun rejim Suharto yang anti-Islam. Begitu juga pemimpin kanan parti-parti politik utama Indonesia, dibarisi golongan Kristian. Ahli ekonomi dan perbankan juga kebanyakannya dari golongan itu dan mempunyai hubungan rapat dengan gerakan Kristian antarabangsa.
Namun ketika Acheh mengisytiharkan Hudud menjadi undang-undang rasmi golongan Kristian membenarkan sahaja perlaksanaannya. Hal itu berlaku kerana tiga perkara. Pertama, Hudud tidak melibatkan penganut Kristian sama sekali. Kedua, orang Kristian terlalu sedikit di Acheh, sama seperti masyakat Cina di negeri dominasi Melayu, Ketiga, Hudud diluluskan di Acheh secara persetujuan penduduknya. Undang-undang itu diluluskan melalui lunas demokrasi dan golongan Kristian juga patuh kepada lunas demokrasi dan membenarkannya.
Kini, Hudud telah masuk tahun ketiga dilaksanakan di Acheh. Gambar-gambar pesalah dihukum rotan di khalayak umum akibat jenayah hubungan terlarang boleh ditonton di internet. Namun golongan Kristian tidak pula berusaha melobi Jakarta menarik balik izin autonomi ke atas pentadbiran undang-undang di Acheh biar pun kelompok mereka sangat berkuasa dalam politik, sosial dan ekonomi. Tidak lain kerana mereka melihat hak penganut Kristian dilindungi sepenuhnya di Acheh. Malah orang bukan Islam lebih selamat di wilayah itu hari ini berbanding zaman pemerintahan Suharto yang pro-Kristian. Sebabnya, Hudud sangat menjamin hak berkehidupan manusia tanpa membezakan anutan agama.
Sekiranya masyarakat bukan Islam di Malaysia benar-benar berfikiran adil dan waras, Hudud tidak menjadi masalah untuk dilaksanakan kerana tidak ada perkara di dalam undang-undang itu yang boleh menyusahkan rutin kehidupan mereka. Sama seperti masyarakat Kristian Indonesia yang tidak nampak Hudud itu memberi masalah atau ketidakadilan kepada mereka.