Pilihan raya kecil Balakong yang menyaksikan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki memperolehi 22,058 undi menewaskan Tan Chee Leong (MCA) yang hanya meraih 3,975 undi bukan sahaja membuktikan Pas ditolak di kawasan Cina malah Melayu pun elergi terhadap parti berkenaan.
Walaupun peratus keluar mengundi sekitar 43% dari 61,659 pengundi berdaftar, namun calon PH berjaya meningkatkan undi di 4 pusat pengundian yang mana majoriti pengundinya Melayu. Saluran berkenaan ialah di Bandar Tun Hussein Onn, (PH mendapat 76.02% undi), Simpang Balak 69.99% undi), Desa Baiduri (75.66% undi) dan Cheras Jaya (73.58% undi).
Bagi Timbalan Menteri Kesihan Dr. Lee Boon Chye keputusan di Balakong jelas menunjukkan penolakan jenama MCA yang tidak menggunakan logo BN dan perkongsian perjuangan MCA dan Pas.
“Keputusan di Balakong jelas membuktikan pengendorsan PAS untuk calon MCA gagal 100% memberikan kejayaan kepada calon MCA. Malah bukan itu sahaja tetapi undi dari masyarakat Melayu untuk calon PH pula meningkat. Ini menunjukkan masa depan koalisi pembangkang malap.
“Rakyat dari semua golongan masyarakat menolak politik perkauman dan juga mana-mana pihak yang cuba menggunakan isu kaum untuk meraih undi.
“Sesiapa yang ingin mengambil kesempatan untuk meraih undi dengan menggesa pengundi mengundi calon yang seagama atau sekaum dengan mereka juga akan gagal dalam era politik baru.
“Rakyat Malaysia hari ini sudah berjalan ke depan dan tidak akan pandang ke belakang lagi,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Di Seri Setia pula, calon Pakatan iaitu Halimey Abu Bakar telah menang dengan kiraan undi sebanyak 13,725 mengalahkan calon PAS Dr. Halimah Ali yang mendapat undi sebanyak 9,698. Peratusan pengundi yang keluar mengundi ialah 44.1% dari 53,492 jumlah pengundi berdaftar.
Mengulas pasal kemenangan itu, Ng Suee Lim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari DAP menegaskan kedua-dua keputusan PRK itu menunjukkan rakyat tetap menerima Pakatan Harapan sebagai kerajaan dan walaupun ada pihak yang mengatakan peratusan keluar mengundi rendah adalah ‘protes terhadap kerajaan’
“Kalau orang hendak protes terhadap Pakatan, mestilah lagi ramai yang akan keluar mengundi untuk parti pembangkang tetapi itu tidak berlaku.
“Setahu saya, rakyat Selangor telah memberi sokongan yang kuat terhadap PH semasa Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu dan sekarang tiada apa-apa yang perlu diberitahu atau dibuktikan kepada PH lagi.
“Keputusan kedua-dua PRK ini adalah satu pukulan yang hebat kepada koalisi pembangkang kerana ia menunjukkan walaupun Umno, Pas dan MCA bekerjasama, mereka tetap gagal menumbangkan PH.
“Rakyat kekal akan sokong PH dan sekarang ialah masa untuk PH membuktikan kepada rakyat bahawa pilihan rakyat pada 9 Mei 2018 adalah keputusan yang tepat dan bijak. Saya juga ingin menekankan selagi Umno, Pas atau mana-mana parti dalam koalisi pembangkang masih hidup dalam era ‘dinosaur’, mereka tetap akan menemui jalan kebuntuan dan kegagalan dalam PRK dan PRU pada masa depan,” katanya.