ULASAN: Untuk ke sekian kalinya Pas berterusan tertipu bila menetapkan pendiriannya mengharungi tiga pilihan raya kecil (PRK) sepanjang 2018 bersama bekas musuh ketatnya Umno-BN.
Pas mutakhir ini seolah-oleh hilang arah perjuangan yang telah dibawa oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor dan almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, khasnya.
Presiden Pas sekarang Hj Hadi terlalu banyak dinasihati oleh penasihat-penasihat yang pro-Umno dan mendengar daripada pakar-pakar strategi yang tiada keyakinan Pas akan mampu bangkit di persada politik persekutuan Malaysia.
Balas dendam PH
Hasilnya, para penasihat Hj Hadi diulik perasaan dendam kepada Pakatan Harapan (PH) yang mengandungi saudara tirinya, Parti Amanah Negara.
Oleh itu fatwa pelik-pelik melingkari Pas sekarang ini di media sosial. Fatwa ini kadang-kala melupakan konsep dosa dan pahala walaupun yang mengeluarkannya adalah ustaz dan ustazah.
Jika si jahil membuat onar salah tafsir agama ianya boleh diketepikan kerana mereka jahil agama. Akan tetapi para agamawan apabila terheret sama dan ‘share’ isu-isu fitnah kepada pihak yang dibenci maka ianya mengelirukan dan merosakkan masyarakat.
Rata-rata pengikut Pas di media sosial terperangkap menshare fitnah tanpa usul periksa. Mereka tidak menentukan sama ada sesuatu perkara itu benar atau salah, asalkan dari pemimpin maka ianya boleh belaka.
Strategi salah
Apabila Pas dan gabungannya kalah dalam PRK maka para pimpinan memberi fatwa yang diulang-ulang. Kononnya jika kalah bermakna menang. Iaitu menang di sisi perjuangan Islam.
Sekiranya menang akan dinobatkan pula sebagai anugerah Allah. Maka dengan itu Pas tidak lagi mempunyai perancangan yang rapi sebagaimana sebelum berhijrahnya golongan profesional daripada parti itu.
Konsep sebelum bekerjasama dengan gerakan Reformasi 1998, ‘Menang mujur, kalah mujur’ kembali popular.
Dendam kepada Mahathir
Kerjasama dengan Umno mungkin bertitik tolak daripada dendam Pas kepada Mahathir yang didakwa sebagai master mind di belakang Peristiwa Memali pada tahun 1985, walaupun Mahathir membuktikan beliau berada di luar negara ketika kejadian.
Juga Pas sangat marah kerana Mahathir dan dituduh zalim kepada kerajaan Pas Kelantan kerana menyekat bantuan negeri. Mahathir juga dituduh menarik balik royalti minyak pada tahun 2000 ketika Pas memerintah Terengganu, biar pun ketika itu penarikan dilakukan atas desakan Umno Terengganu.
Anehnya, hari ini Pas menganggap Umno Terengganu adalah sekutu mereka walaupun pemimpin yang menzalimi kerajaan Pas 1999 – 2004 itu masih menjadi sebahagian Ketua Bahagian Umno.
Tidak Islamik
Pas berhujah PH tidaklah Islamik dan tidak bertunjangkan perjuangan Islam meskipun adanya Amanah serta para ulama parti itu di dalamnya.
PH dikatakan tidak akan mengubal hukum hudud malah akan tetap sekular seperti pemerintahan BN sejak 61 tahun dulu. Wanita-wanita PH tidak dipaksa atau dimusuhi kerana tidak berhijab sebagaimana muslimat Pas
Wujudnya Dr Mujahid Yusof Rawa, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin dan lain-lain agamawan dianggap tidak akan mensucikan PH
Maka dengan hujah itu, Pas menampilkan dirinya sebagai parti nombor wahid memperjuangkan Islam dan mewarisi perjuangan Nabi-nabi dan Rasul-rasul.
Terpaksa berbaik
Namun apabila negeri Pantai Timur yang ditadbir Pas kekurangan dana untuk membayar gaji kakitangan negeri, pemimpin Pas ‘berbaik-baik’ pula dengan kerajaan persekutuan PH.
Kedatangan menteri-menteri pusat ke Kelantan dan Terengganu diaturkan secara terhormat. Tiada lagi setakat ini poster-poster yang menghambat menteri pusat daripada memasuki Pantai Timur sebagaimana yang berlaku pada 1990an.
Malah Presiden Pas bersama Menteri Besar Pas Terengganu pergi menemui PM Tun Mahathir untuk membincangkan isu royalti.
Situasi ini amat sukar difahami ahli biasa. Mantik yang ditunjukkan pemimpin Pas mengecam PH dan ‘berkahwin’ pula dengan Umno serta dalam masa sama berbaik-baik bersama PH terlalu mengelirukan.
Ke arah manakah Pas mahu meneruskan perjuangannya pasca pilihan raya (PRU) umum ke 14?
Kembali ke pangkuan
Namun sesetengah penganalisis politik meramalkan Pas akan kembali sebagai sekutu PH sekiranya pemimpin aliran keras seperti Hj Hadi dan pasukannya boleh direhatkan.
Senario mungkin berubah jika Pak Sheikh Anwar Ibrahim mengambilalih jawatan PM daripada Mahathir. Pas akan hilang alasan kerana tiada dendam lama. Pak Sheikh kawan rapat bekas presiden Pas Fadzil Noor dan Nik Aziz. Kedua-dua mereka mengiktiraf Anwar dan mencalonkan beliau sebagai PM dalam PRU dari tahun 1999 sehingga 2008.
Keadaan ini akan menimbulkan serba kemungkinan dalam Pas kerana jasa Anwar sangat besar ketika bersama dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.
Namun sekiranya Pas mengalih serangan dan memusuhi Anwar pula maka mereka akan mengalami kerugian. Tidak banyak ahli Pas yang setuju menyerang Anwar berbanding Mahathir.
Tersalah langkah maka Pas akan kehilangan Terengganu biar pun mungkin boleh bertahan di Kelantan dengan kelebihan 1 atau 2 kerusi DUN sebagaimana dalam PRU 1995.
_______________________________________________________________________________
Tulisan ini adalah pandangan penyokong Pas yang menganggap parti itu sedang bergerak ke arah kerugian total, terutama apabila Anwar Ibrahim akan menjadi PM dalam tempoh dua tahun ini.