Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad berkata perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta langkah penjimatan mampu mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal.
Menurut beliau, langkah itu akan memastikan kerajaan ditadbir secara lebih baik dan dalam jangka masa setahun atau lebih ekonomi akan pulih semula.
“SST adalah mesra rakyat dan kutipan hasil untuk kerajaan adalah kurang dari separuh iaitu RM21 bilion berbanding dengan GST sebanyak RM44 bilion. Tetapi dengan langkah berjimat-cermat yang diamalkan oleh kerajaan PH, ekonomi dan situasi kewangan Malaysia akan mampu bertahan tanpa membebankan rakyat.
“Juga dengan pembatalan atau penundaan projek mega yang menelan belanja terlalu besar serta usaha gigih Jabatan Peguam Negara untuk mendapat kembali wang 1MDB yang teleh diselewengkan, ekonomi dan situasi kewangan Malaysia akan dibaiki-pulih walaupun ia akan memakan masa setahun atau lebih,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Pengarah Komunikasi Amanah itu juga berkata kementerian yang diterajui beliau adalah contoh bagaimana kerajaan PH mengamalkan penjimatan. Katanya ‘event’ atau sebarang program yang dirancang hanya akan dilaksanakan sekiranya diperlukan.
Faktor-faktor seperti kos, masa dan pelbagai lagi akan dipertimbangkan dengan teliti sebelum diberi kelulusan. “Saya sendiri memantau (‘hands-on’) setiap butiran belanjawan kementerian,” sambungnya.
Beliau berpendapat, buat masa ini semua lapisan masyarakat rasa gembira dan puas hati dengan SST. Beliau juga menyarankan agar rakyat prihatin menjadi pemantau kepada kerajaan bagi menjayakan dasar-dasar ‘Malaysia baharu’
“Apabila semua orang bekerjasama untuk menjayakan SST, jumlah peniaga atau usahawan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan yang terlalu berlebihan (profiteering) berkurangan.
“Lagipun, tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang tidak membayar cukai dan peniaga yang menaikkan harga barang hingga ke tahap yang tidak munasabah.
“Yang penting sekali, Kerajaan PH mampu laksanakan satu sistem pencukaian yang tidak menekan atau menyusahkan rakyat dan kita akan terus melaksanakan lagi banyak dasar yang mesra-rakyat, cuma berilah masa kepada kami untuk melakukan dengan yang terbaik,” kata Khalid.