Akhbar The Star tersalah petik kenyataan berhubung isu khalwat dan jenayah lain berkaitan agama Islam, kata Mujahid Rawa dalam satu temu bual bersama TV Alhijrah pagi ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pengarang akhbar The Star membuat rumusan sendiri terhadap kenyataannya.
“Saya tidak pernah menyebut isu kononnya dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu. Itu semua adalah tambahan daripada editor yang membuat rumusan mereka sendiri daripada kenyataan saya,” katanya dipetik berkata Alhijrah.
Katanya, beliau hanya bercakap soal beza kesalahan ruang awam dan peribadi serta salah guna kuasa penguasa.
“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ruang awam dengan ruang peribadi, dan juga mengenai salah guna kuasa serta pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam,” tambah beliau.
Jelasnya, tindakan boleh diambil jika terdapat kebimbangan dan sebagainya tetapi kaedah itu perlu melalui undang-undang.
Beliau turut menjelaskan, perbuatan dosa tetap berdosa tetapi yang menjadi perbezaan adalah penguatkuasaan kerajaan.
“Dosa tetap dosa walaupun secara senyap-senyap, bezanya ialah atas konteks penguatkuasaaan kerajaan, kita utamakan penguatkuasaan yang boleh ‘menceroboh’ ketenteraman awam,” ujar beliau.
Sebelum ini, akhbar The Star melaporkan Mujahid sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam bagi melaksanakan operasi khalwat dan aktivit maksiat lain.
Beliau menegaskan apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.
“Katakanlah kamu melakukan sesuatu secara peribadi, dalam kawasan persendirian, saya tidak akan masuk campur.
“Contohnya, Islam melarang minum arak tetapi jika kamu melakukannya di dalam kawasan kamu sendiri, maka sebagai kerajaan, saya tidak akan masuk campur,” katanya dalam satu wawancara dengan The Star yang diterbitkan semalam.
Kenyataan yang dakwa Mujahid “salah petik” itu mengundang reaksi pelbagai pihak termasuklah agamawan.
Bagi Mufti Pahang Abdul Rahman Osman kenyataan menteri itu akan membuka pintu kepada orang ramai untuk melakukan maksiat.
“Ini kerana tidak ada orang yang boleh mencegahnya. Saya nampak (kenyataan) beliau bercanggah dengan hadis Rasulullah.
“Rasulullah menyebut, sesiapa yang melihat perkara mungkar hendaklah dia mengubah dengan tangannya, kalau tak boleh dengan lisan, dan dengan lidahnya, kalau tak boleh dengan hatinya,” katanya seperti yang dipetik daripada Free Malaysia Today.
Tetapi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong kenyataan tersebut, menyifatkan Islam tidak menuntut penganutnya mengintip dan masuk campur urusan orang lain.
Manakala, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula menyifatkan kenyataan menteri agama itu boleh menyinggung Majlis Raja-Raja kerana bidang kuasa agama Islam terletak di bawah institusi itu dan bukannya Mujahid. – TMI