Penasihat kerajaan Tun Daim Zainuddin mengakui bahawa adalah jauh lebih sukar untuk memulihkan ekonomi Malaysia hari ini, berbanding dengan dua tempoh semasa beliau menjadi menteri kewangan.
“Kali ini, jauh, jauh lebih sukar dan rumit. Ini kerana kerajaan (sebelum ini) menimbulkan banyak masalah, wang dibazir dan dicuri,” katanya dalam satu temu bual dengan Channel NewsAsia.
“Saya diminta untuk meneliti angka-angka itu, menganalisisnya dan hantarnya semula kepada perdana menteri. Ini mengambil sedikit masa sebelum kita dapat memulihkan semula ekonomi.”
Kenyataan Daim itu dibuat ketika Bank Dunia menyemak semula pertumbuhan KDNK 2018 Malaysia dari 5.4 peratus pada bulan April kepada 4.9 peratus, seperti yang dinyatakan dalam Kemaskini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik untuk bulan Oktober.
Bank Dunia juga menjangkakan kerajaan akan mengetat dan memotong perbelanjaannya hingga hanya 0.4 peratus daripada KDNK – berbanding 5.4 peratus pada 2017 – untuk mengekang baki fiskal.
Daim bukan muka baru dalam memulihkan ekonomi negara yang gawat. Antara tahun 1984 dan 1991, beliau dibawa oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai menteri kewangan, dan sekali lagi antara 1999 dan 2001 berikutan krisis kewangan Asia.
Selepas Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri berikutan pilihan raya umum 9 Mei, beliau sekali lagi meminta Daim untuk membantu, dengan kali ini sebagai pengerusi Majlis Penasihat Negara (CEP).
CEP menemubual 300 orang – dari penjawat awam tertinggi kepada tokoh perbankan dan ketua industri – serta mengemukakan cadangan mereka, terutamanya mengenai cara memulihkan ekonomi, pada 20 Ogos.
Kali ini, Mahathir mewarisi kerajaan yang mempunyai tanggungan hutang sebanyak RM1 trilion, yang menurut Daim akan membantutkan keupayaan Pakatan Harapan untuk memenuhi janji dan manifesto pilihan raya.
Beliau berkata cara terbaik bagi kerajaan menangani perkara itu adalah dengan kejujuran.
“Rakyat Malaysia ini baik, penyabar dan sangat memahami. Jika kamu jelaskan, mereka akan memahami dan menerimanya.
“Tunaikan apa yang dijanjikan dalam manifesto dan jika ada sebab kamu tidak boleh menunaikannya, jelaskan kepada orang ramai secara jujur,” katanya.
Daim berkata antara lain, CEP menasihatkan kerajaan supaya menyenaraikan beberapa asetnya di pasaran saham untuk mendapatkan dana. – Mkini