Calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim diramal menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson esok, kata kajian Ilham Center.
Pusat kajian politik itu berkata, persoalan yang timbul bukanlah sama peluang Anwar menang tetapi peratusan keluar mengundi serta majoriti undi ahli Parlimen Port Dickson baharu itu yang juga bakal perdana menteri Malaysia kelapan.
“Secara mudahnya, kemenangan seolah-olah menjadi milik Anwar namun kedudukan pengundi Melayu menjadi kayu ukur utama kejayaan beliau di Port Dickson ini,” katanya dalam satu kenyataan hasil kajian yang dikeluarkan hari ini.
Anwar dijangka menerima 64% daripada keseluruhan undi dan selesa dengan sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan itu.
“Anwar selesa dengan kelebihan undi bukan Melayu dan kedudukan ini gagal dicabar oleh calon-calon lain.
“Bagi pihak luar, jumlah peratusan keluar mengundi dan majoriti yang diperolehi oleh Anwar menjadi pertaruhan dan perbincangan sepanjang kempen ini.
“Pengundi tempatan pula kekal ‘tenang’ dan mereka sudah mempunyai keputusan untuk diterjemahkan dalam pilihanraya kecil kali ini,” kata Ilham Center lagi.
Kajian berkenaan dilakukan bermula 8 Oktober sehingga 11 Oktober 2018 melibatkan 817 responden dari Parlimen Port Dickson.
Menurut kajian itu lagi, Anwar kekal menjadi calon tunggal pilihan ketika tempoh berkempen.
“Menuju saat-saat akhir pembuangan undi, Anwar kekal menjadi calon tunggal yang paling terkehadapan dalam siri kempen yang dilakukan.
“Gerak kerja kempen yang lebih tersusun, jentera yang berpusat di setiap pusat pengundian dan variasi bahan-bahan kempen yang boleh dilihat sekitar Port Dickson.
“Sebagai calon yang diwar-warkan bakal perdana menteri Malaysia kelapan ia memberi kelebihan buat Anwar untuk menonjolkan diri dalam siri kempennya.”
Kajian turut menyatakan kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kempen Anwar turut memberi kelebihan kepada calon itu.
Selain menafikan wujudnya kemelut antara mereka, kehadiran Dr Mahathir juga memastikan peralihan undi Melayu kepada Anwar, kata kajian.
“Persoalan yang timbul di kalangan pengundi ialah sejauh mana keinginan Anwar untuk kekal di Port Dickson dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang sekiranya menang kerana beliau tidak mempunyai nilai sentimental dan legasi di kawasan ini,” katanya.
PRK Port Dickson yang akan mengundi esok menyaksikan pertarungan tujuh penjuru antara Anwar dan calon PAS Nazari Mokhtar serta calon Bebas Isa Samad, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen.
Ia diadakan selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi membolehkan Anwar bertanding untuk kembali ke Parlimen.
Parlimen itu mempunyai 75,770 pemilih berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43% pengundi Melayu, Cina (33%), India (22%) dan kaum-kaum lain (2%). – TMI