Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson akan membayangkan corak politik Malaysia untuk beberapa tahun akan datang sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, kata PAS menutup kempennya malam ini.
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata walaupun kemenangan mana-mana calon tidak akan mengubah kedudukan di Parlimen tetapi pengundian di Port Dickson akan memberi “bacaan” tentang sokongan politik rakyat.
“PRK Port Dickson satu pilihan raya pembacaan politik masa depan. Betul, kalau menang kita tak mampu ubah kerajaan tapi kemenangan PAS di Port Dickson akan memberi bacaan politik baru kepada negara… kerajaan selepas PRU15 akan bertukar tangan, atau kerajaan PH akan jatuh di tengah jalan sebelum PRU15,” katanya dalam ceramah terakhir malam ini.
Menurut Zawawi, PAS menyedari kedudukannya masuk bertanding di Port Dickson bukan sebagai pilihan utama.
Namun parti itu Islam itu tetap meletakkan calon kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) “lebih dahsyat” daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, katanya.
Beliau menyebut apa yang dikatakannya sebagai kegagalan kerajaan PH menunaikan janji dalam manifesto yang memberikan mereka kemenangan dalam PRU14.
“Ini bukti parti memerintah hari ini paling dahsyat dalam negara, yang berbohong kepada rakyat, bangsa dan agama dalam negara,” katanya, di depan 200 penyokong PAS di Port Dickson sebentar tadi.
Dalam pada itu, Zawawi turut menyelar kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan memperkenalkan cukai baharu bagi membantu kerajaan melunaskan hutang negara, yang katanya akan membebankan rakyat.
“Perdana menteri baru cakap nak perkenal sistem cukai lain, bukan nak mansuh SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) tapi tambah lagi cukai, katanya tidak menyusahkan rakyat.
“Dia nak minta cukai dengan siapa, lembu, ayam, kambing?” katanya.
Ceramah PAS malam ini menutup kempen parti Islam sejak tempoh berkempen 14 hari lalu.
PAS meletakkan calon veteran tentera berpangkat leftenan kolonel, Mohd Nazari Mokhtar untuk menentang calon PH Anwar Ibrahim, yang jadi pilihan utama untuk menang.
Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menjangkakan Anwar akan menang 74% undi manakala Ilham Center menjangkakan ketua umum PKR itu menang dengan 64% undi.
IDE turut menjangkakan PAS akan memperolehi 11% undi daripada keseluruhan 75,770 pengundi di Parlimen Port Dickson.
Kajian Ilham Center pula meramal PAS akan hilang deposit di kerusi itu, disebabkan jentera parti yang lumpuh.
Dalam PRU14, calon PAS bagi kerusi Parlimen dan dua calonnya bagi kerusi negeri dalam Port Dickson hilang wang pertaruhan. – TMI