Najib Razak tidak seharusnya terus berpura-pura yang tidak wujud skandal 1MDB selepas pertuduhan jenayah dilakukan ke atas ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho dan dua bekas jurubank Goldman Sachs di Amerika Syarikat semalam, kata Lim Kit Siang.
Veteran DAP itu berkata Najib sangat lantang bersuara walaupun sudah dikenakan 38 pertuduhan di Malaysia, jadi sekarang beliau tidak boleh berdiam diri susulan perkembangan terkini di AS itu.
Low, atau lebih dikenali dengan nama Jho Low disabitkan bersalah secara “absentia” bersama-sama bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara Tim Leissner dan bekas pengarah urusan Roger Ng kerana pelbagai pertuduhan pengubahan berbilion wang haram di AS yang diseleweng daripada 1MDB.
Mereka juga didakwa berpakat untuk melanggar Akta Amalan Korup Asing (FCPA) yang juga melibatkan pertuduhan merasuah pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.
Leissner mengaku bersalah atas dua pertuduhan berpakat untuk mengubah wang haram dan melanggar FCPA dengan merasuah pegawai Malaysia dan Abu Dhabi dihukum denda AS$43.7 juta kerana jenayah itu.
Polis Malaysia pula menahan Ng semalam selepas waran tangkap ke atasnya dikeluarkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
“Apa yang akan dikatakan Najib dan Apandi tentang sabitan bersalah dan prosiding melibatkan 1MDB dan jika mereka masih lagi perdana menteri dan peguam negara?” kata Lim merujuk kepada bekas peguam negara Apandi Ali yang sebelum ini membebaskan Najib daripada sebarang salah laku melibatkan 1MDB.
“Najib (sebelum ini) kata yang tindakan DoJ tidak melibatkannya atau kerajaan Malaysia, atau 1MDB secara langsung. Beliau kata yang ini bukan saman jenayah, tetapi saman sivil yang dipolitikkan musuh tertentunya.”
Najib hampir dinamakan sebagai “Malaysian Official #1” dalam kertas pertuduhan difailkan DoJ terhadap Low, Leissner dan Ng.
Malaysian Official 1 atau MO1 itu tidak dinamakan secara khusus tetapi dinyatakan sebagai “seorang warga Malaysia dan pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia dan juga MOF (Kementerian Kewangan) sejak atau sekurang-kurangnya sekitar 2009 atau sehingga atau sekitar 2018, dengan kuasa peringkat tinggi untuk meluluskan keputusan perniagaan 1MDB.”
Lim juga memuji Peguam Negara Tommy Thomas kerana memastikan Malaysia menjadi negara pertama mengaitkan Jho Low dalam skandal 1MDB pada Ogos lalu sebelum saman di AS itu. – TMI