Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Belanjawan 2019 dikemukakan secara terperinci merangkumi setiap sektor, tanpa melangkaui kemampuan kewangan negara.
Beliau berkata belanjawan itu mengambil kira antaranya peruntukan untuk wanita, generasi muda, masjid dan bangunan agama lain, hak Bumiputera serta hak Sabah dan Sarawak.
“Kita cuba memenuhi aspirasi rakyat, di masa yang sama bajet kita berbelanja bukan melebihi pendapatan kita. Kita tidak ada pinjaman untuk nak buat syarikat baharu supaya kita boleh curi duit.
“Kita sangat berhati-hati, kita belanja apa yang kita boleh, kalau tiada duit, kita tak belanja,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Ditanya mengenai peruntukan Kementerian Pendidikan yang menjadi penerima peruntukan terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan, Dr Mahathir berkata ia kerana bidang itu amat penting buat rakyat dan negara.
“Saya mahu menjadi Menteri Pelajaran, mereka tidak membenarkan saya, tetapi kita masih perlu mendidik orang kita kerana bidang ilmu telah banyak berubah. Kini, anda perlu belajar lebih banyak perkara tidak seperti dahulu.
“Dahulu kita membaca sejarah empayar British atau geografi England, sehingga kita tidak tahu geografi kita sendiri… pada masa itu kita hanya belajar tentang perkara-perkara itu. Tetapi sekarang, kita perlu belajar tentang IT, teknologi, sains, matematik, algoritma, kita perlu belajar atau kita akan ketinggalan, “katanya.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng mempunyai tugas penting untuk memberi maklumat dan penjelasan secara lebih terperinci mengenai langkah-langkah diambil kerajaan menerusi Belanjawan berkenaan terutama kepada kuasa pasaran.
“Reaksi mereka menjadi perkara penting dan jika mereka tak faham maka mungkin tafsiran mereka itu tidak tepat, sebab itu Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai lain termasuk dari Bank Negara dan anggota-anggota kerajaan sendiri akan membuat penjelasan berkenaannya ,” kata beliau.
Dr Mahathir turut mengalu-alukan analisa dan teguran daripada pelbagai pihak termasuk media mengenai Belanjawan 2019.
“Kami (kerajaan) bersedia untuk menjawab segala teguran, dan penjelasan akan dibuat jika ada sesuatu yang belum jelas,” katanya. – mkini