Calon kem Rafizi Ramli, Akmal Nasir hampir pasti diumumkan ketua sayap pemuda PKR Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang baru selepas kekal mendahului Dr Afif Bahardin dalam proses kiraan undi ragu yang disambung pagi ini.
Sumber dalaman PKR memberitahu The Malaysian Insight, Akmal menang tipis mengatasi Afif yang juga Adun Seberang Jaya tidak lebih 50 undi.
“Kini, kiraan undi ragu dah selesai. Akmal ada tidak lebih 50 undi. Petang ini akan umum secara rasmi,” kata sumber yang enggan dinamakan itu.
Seorang lagi sumber daripada kem Mohamed Azmin Ali turut mengesahkan maklumat yang sama.
Semalam sehingga pukul 2 pagi, Afif ketinggalan lebih 100 undi dan pengiraan disambung semula pagi tadi.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan keputusan pemilihan ketua AMK belum dapat dimuktamadkan, tidak sampai 24 jam sebelum ia dijadual diumumkan pada penghujung kongres sayap itu petang ini.
Ketika Timbalan Presiden Azmin merasmikan kongres sayap itu malam tadi di Shah Alam, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) masih mengira undi di ibu pejabat parti di Petaling Jaya sehingga lewat malam.
Sementara itu, beberapa ahli sayap mengucapkan tahniah kepada Akmal termasuk calon lawannya Najwan Halimi, yang juga Adun Kota Anggerik.
Keputusan pemilihan AMK ini mengulangi episod pemilihan penggal yang lalu.
Ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang dikenali bukan penyokong Azmin mengetuai AMK yang dikuasai majoriti kem timbalan presiden PKR itu.
Nik Nazmi mengalahkan Amirudin Shari yang bergandingan dengan Afif. – TMI