Mahkamah Pilihan Raya di Seremban hari ini memutuskan bahawa kerusi DUN Rantau Negeri Sembilan kosong dan mengisytiharkan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hassan pada pilihan raya umum ke-14 lalu sebagai tidak sah.
Sehubungan itu, hakim Azimah Omar mengarahkan satu pilihan raya kecil diadakan serta-mereta.
Katanya, tidak ada undang-undang bertulis atau keperluan bagi seseorang calon atau pencadangnya mempunyai pas untuk memasuki pusat penamaan.
“Ini adalah diskriminasi kepada pempetisyen (Dr S Streram) dan gangguan kepada proses demokrasi.
“Peguam bagi Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Amino Agus Suyub, telah mengakui dalam penghujahan mereka bahawa tidak ada undang-undang atau peraturan bertulis yang mensyaratkan keperluan pas bagi tiga orang yang disebutkan,” katanya.
Mahkamah selanjutnya memutuskan bahawa pegawai pengurus itu tidak mengikuti peraturan dalam tindakannya menghalang calon PKR masuk sedangkan dia tahu Streram berada di luar pusat penamaan.
“Tindakannya tidak beretika dan tiada integriti,” kata Azimah. – mkini