Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak boleh sombong dengan terus menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) memandangkan negara ini adalah sebahagian daripada anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini kerana, ahli Parlimen itu berkata Malaysia perlu mendapatkan penjelasan dan mengkaji mengenai Icerd.
“Perdana menteri kata tangguh, saya pun kata tangguh. Jadi tiada langsung kebenaran kerajaan akan laksanakannya seperti didakwa sesetengah pihak.
“Sebab apa kita tak kata batal terus? Sebab ini perjanjian konvensyen di peringkat antarabangsa oleh PBB… kita ahli PBB. 100 negara dah lulus. Kita tak boleh tolak (dengan) sombong begitu sebab kita ahli masyarakat dunia.
“Jadi kita kata kaji, ulas, dengar pandangan dulu. Tapi kita tak boleh tolak ansur dengan status Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera,” katanya lapor akhbar Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis kesyukuran kemenangan beliau sebagai Ahli Parlimen Port Dickson, malam semalam.
Icerd menjadi perbahasan hangat selepas Waythamoorthy mengumumkan ia antara enam konvensyen hak asasi manusia yang akan kerajaan ratifikasikan menjelang suku pertama tahun depan.
Malaysia adalah segelintir negara yang belum mengiktiraf Icerd, sebaris Myanmar, Brunei dan Korea Utara. – mkini