KEADILAN Selangor menyelar kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Seri Noh Omar dalam maksud ‘ketirisan’ dan ‘hutang’ yang disiarkan akhbar baru-baru ini. Jelas ia adalah satu respon mentaliti rendah dari seorang yang bergelar Menteri.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor Suhaimi Shafei mempersoalkan tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyegerakan untuk melaksana sebanyak 135 projek kepada 1,746 sub projek (Laporan Ketua Audit Negara) tetapi ‘berhutang’ pemberian insentif kepada petani kecil dan miskin.
“Kalaupun saya dituduh tidak mengetahui makna tiris dan hutang oleh Menteri terlibat, yang pasti saya mengetahui sedalamnya derita beban yang ditanggung oleh petani kecil disebabkan kelemahan pentadbiran Noh Omar yang lebih mementingkan pelaksanaan projek-projek yang menguntungkan kroni tetapi berdalih dengan seribu satu alasan apabila melibatkan petani kecil.
“Adakah ini halatuju baru kementerian yang cuba digarap oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani? Projek dahulu, Petani kemudian?
“Sewajibnya insentif kepada petani ini ‘didahulukan’ berbanding pelaksanaan projek terpilih yang mana boleh dikaji keutamaannya. Insentif kepada petani yang susah, kepada orang miskin boleh berhutang, boleh ditangguh, boleh dikurang tetapi projek kepada kroni jika perlu boleh pula dipohon bajet tambahan tanpa perlu menunggu bajet baru,” bidasnya.
Menurut Suhaimi, polisi kerajaan BN adalah terus-menerus merompak orang kampung dengan meluluskan apa sahaja undang-undang untuk melaksanakan tujuan. Katanya, Rang Undang Undang yang ditarik sebelah pagi, boleh diselitkan di sebelah petang kerana di sana ada banyak peluang untuk terus merompak harta orang kampung.
KEADILAN Selangor, tegasnya, mempersoalkan kewajaran tindakan kementerian pertanian menggantung tapak perniagaan kepada peniaga tertentu di pasar tani Shah Alam baru-baru ini. Suhaimi membidas jawapan balas Noh berhubung persoalan itu yang langsung tidak disentuh, bahkan menyimpang jauh dari topik isu.
“Soalan yang dikemukakan amat mudah; kenapa zalim sangat memberhentikan perniagaan seorang ibu tunggal yang lemah dan mempunyai tanggungan tiga anak? Sebagai seorang Menteri yang berkuasa penuh kepada agensi di bawah kementerian, seharusnya jawapan Menteri adalah jujur, ikhlas dan membantu menyelesaikan sengsara yang terpikul di bahu pengadu. Apa yang cuba dipesongkan oleh Noh Omar tidak lebih sebagai alasan untuk lari dari tanggungjawap menjawap persoalan pokok!
“Soalan saya mudah, kenapa begitu kejam tindakan pada seorang ibu tunggal yang kebetulan tidak dapat hadir menyambut Menteri hingga perlu ditabur pasir ke periuk nasinya? Kenapa lakukan kezaliman ini? Apakah ibu tunggal ini orang kaya seperti Khir Toyo? Dan jika amat kaya seperti ADUN Sementa sekalipun, perlukah di sekat rezekinya hanya semata mata tidak dapat hadir program Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani? Jawap soalan ini Dato Seri!
“KEADILAN Selangor ingin tegaskan, surat hitam putih dan tindakan ‘ala penguatkuasa Tunisia’ ini benar-benar berlaku di bawah seorang Menteri bernama Noh Omar!” kecam Suhaimi
Beliau mencabar Noh bertindak mendahulukan rakyat, beri semula tempat niaga pada ibu tunggal tersebut dalam tempoh 7 hari. Katanya, kesalahan peniaga itu amat kecil dan belum dibuktikan tetapi hukuman telah dijatuhkan. Undang undang dan peraturan manakah yang agensi di bawah kawalan kementerian guna pakai? Malaysia bukan di negara Afrika atau Timur Tengah yang perlu zalim pada rakyat sendiri .
“KEADILAN Selangor menyeru rakyat seluruh negara melihat tingkah laku Timbalan Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional Selangor yang bongkak dalam menunjukkan kekuasaannya ini. Inikah sikap seorang pemimpin yang kononnya bakal menjadi Menteri Besar Selangor?” tempelak Suhaimi