Putrajaya akan memastikan dahulu jika terdapat dokumen berkaitan dengan dakwaan bahawa China diberi projek di Malaysia untuk menyelamatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum membuat sebarang kenyataan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Menurut perdana menteri, Putrajaya tidak pernah melihat atau menerima dokumen tersebut.
“Kenyataan ini dibuat oleh seseorang dalam media. Saya fikir dokumen itu ada, tetapi ia sama ada kita cari atau ia ditunjukkan kepada kita.
“Kemudian barulah kita boleh terima kenyataan tersebut. Sehingga itu, kita tak boleh ambil tindakan. Kita kena cari dokumen itu dan teliti untuk membuktikan yang perkara ini memang berlaku.
“Itu (dilakukan) oleh kerajaan lama, bukan kerajaan kita,” kata perdana menteri selepas mesyuarat anti rasuah di Putrajaya hari ini.
Laporan Wall Street Journal (WSJ) melaporkan syarikat-syarikat China diberi kontrak membina antara lain, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion dan saluran paip gas bernilai RM4 bilion untuk menyelamatkan 1MDB yang bermasalah.
Projek-projek ini dibiaya lebih tinggi daripada nilai pasaran, di mana lebihan wang digunakan untuk membayar hutang 1MDB, kata WSJ.
Akhbar itu turut berkata telah melihat dokumen tersebut yang diperolehi dari sumber mereka.
Dr Mahathir berkata apa yang dilaporkan di media sekarang ini adalah hanya dakwaan.
Kedutaan China di Kuala Lumpur pada Selasa menolak dakwaan “tidak berasas” bahawa terdapat rundingan rahsia antara China dengan 1MDB sebagai pertukaran dengan kontrak pembinaan.
Kedutaaan itu menafikan perjanjian tersebut wujud dan berkata China mengamalkan dasar tidak mencampuri hal ehwal negara lain. – TMI