Ahli parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli menjangkakan pilihanraya umum akan diadakan dalam masa terdekat berdasarkan mood BN menyerang parti-parti pembangkang. Faktor Najib Razak menunaikan haji, kata beliau, boleh dijadikan andaian sebagai salah satu strategi kempen BN untuk menaikan imej Perdana Menteri sebagaimana dilakukan oleh media massa ketika Dr Mahathir menunaikan haji pada 1999 lalu.
Spekulasi tersebut dinyatakannya dalam ceramah isu-isu semasa di Taman Permata, parlimen Gombak semalam.
“Pemimpin seperti Najib apabila menunaikan haji tentunya diberi penghormatan untuk melaksanakannya dalam keadaan terbaik. Pastinya ibadat haji Najib akan didokumentarikan dan disiarkan di stesen televisyen untuk tontonan rakyat.
“Jadi kita boleh menjangkakan pilihanraya akan diadakan selepas Najib balik dari Mekah. Seawal-awalnya pada bulan November ini,” kata Dr Hatta.
Tegasnya, sebaik parlimen bubar jawatankuasa khas parlimen memperbaiki peraturan pilihanraya yang dibentuk sekarang tidak akan berguna lagi. Bagaimanapun Dr Hatta menjelaskan PR tetap menyertai jawatankuasa itu sebagai langkah untuk mendesak 8 tuntutan Bersih yang mahukan pilihanraya jujur dan adil didengar oleh kerajaan.