Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin tertanya adakah Datuk Seri Najib Razak mengaku salah dalam kes 1MDB apabila bekas perdana menteri itu menyalahkan skandal tersebut pada kegagalan sistem.
Najib minggu lepas menjelaskan 1MDB memasukkan “semuanya” dalam sistem, termasuk firma antarabangsa, Goldman Sachs dan juruaudit, dan mereka sepatutnya memaklumkan jika ada apa-apa yang tidak diingini berlaku.
Selain itu, 1MDB juga ada lembaga pengarah dan pihak pengurusan. “Jadi ini adalah kegagalan sistem,” kata bekas perdana menteri itu.
Kadir bagaimanapun berkata semua orang tahu skandal tersebut adalah persepakatan melibatkan banyak pihak di dalam dan luar negara.
Wartawan veteran itu menambah dia pernah menulis mengenai kegagalan sistematik dalam urus tadbir 1MDB dan kerosakan institusi yang sistematik dan meluas ketika pemerintahan Najib.
“Cuma yang mengejutkan Najib sendiri secara terbuka mengaku kepada khalayak ramai bahawa beliau terlibat bersama beberapa orang lain dalam skandal yang menyebabkan terjadi kegagalan sistematik dalam 1MDB,” katanya di blognya semalam.
Beliau berkata pengakuan Najib itu mengukuhkan pendapat umum bahawa beliaulah “kepala” skandal 1MDB dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
“Soalnya adakah pengakuan beliau juga boleh dijadikan bukti sahih dalam perbicaraan beliau dan konco-konconya?” kata Kadir.
Najib membuat penjelasan itu selepas Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon memohon maaf atas peranan bekas pegawainya, Tim Leissner dalam skandal itu. – FMT