Pertarungan semakin sengit menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Bagi calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran, penentu kepada kemenangan di Cameron ialah isu kehidupan harian. Katanya, parti mana yang boleh memberi penyelesaian kepada peningkatan kos kehidupan harian maka parti tersebut mempunyai peluang untuk menang.
“Menerusi program sembang-bual dengan penduduk di Cameron Highlands saya dapati semua pengundi tidak kira bangsa atau kaum di kawasan pedalaman atau di bandar seperti Tana Rata mengutarakan isu ‘cabaran hidup masa kini’.
“Sekarang orang sudah sedar dan dapat merasai walaupun harga minyak turun, harga banyak barang meningkat.
“Harga baja, makanan ternakan untuk ayam dan barang yang berkaitan dengan pertanian semuanya sudah mengalami kenaikan kerana matawang dolar Amerika Syarikat mengukuh berbanding ringgit dan kita mengimpot atau membuat bayaran menggunakan dolar.
“Dalam pada itu, hutang negara kita yang tinggi akibat ketidakcekapan pengurusan bekas Kerajaan BN juga telah melemahkan nilai ringgit dan imej negara.
“Saya telah menekankan kepada pengundi bahawa hanya Kerajaan PH boleh membantu mereka kerana usaha sedang dijalankan untuk mendapatkan pelaburan asing dan kemasukan dana lebih banyak ke dalam negara kita.
“Justeru, dengan wang itu, kita boleh membantu rakyat tetapi ini mengambil masa dan hanya boleh dilakukan apabila Kerajaan PH kuat dan kukuh,” kata Manogaran kepada Suara Pakatan daily.
Tambah beliau, dengan penerangan yang jelas masyarakat Orang Asli semakin sedar betapa sukarnya cabaran yang sedang dihadapi oleh Kerajaan PH memulihkan ekonomi negara. Walaupun dahulu mereka penyokong tegar BN, kini mereka tahu bahawa BN adalah punca masalah berat yang dihadapi hari ini.
“Setiap golongan pengundi memerlukan bantuan dengan segara. Ini adalah zaman yang mencabar.
“Isu agama dan perkauman tidak lagi menjadi isu hangat. Oleh itu, pemimpin-pemimpin BN yang sedang memainkan isu perkauman tidak tahu citarasa rakyat hari ini.
“Juga jumlah kutipan cukai hasil sebanyak RM137 bilion untuk tahun 2018 baru-baru ini merupakan rekod tertinggi oleh LHDN dan ini membuktikan PH berada dalam landasan yang betul.
“Apa pun pengundi perlu ingat BN bukan Kerajaan Pusat. Bagaimana BN boleh membantu rakyat?,” kata Manogaran sambil berharap para pengundi sedar akan fakta asas berkenaan.