Pakatan Harapan (PH) perlu melunakkan imej DAP untuk membolehkan parti itu lebih diterima masyarakat Melayu, kata pemimpin Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim.
Bekas menteri itu berkata, persepsi ke atas DAP itulah yang menyebabkan PH kecundang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih walaupun isu rasuah dihadapi lawan lebih serius.
“Orang Melayu di Semenyih enggan terima hakikat tindak tanduk melulu DAP. Kerja rumah yang perlu dibuat secara serius oleh PH adalah melunakkan apa-apa imej DAP supaya perasaan perkauman dan tindak tanduk melulu DAP dapat direalisasikan pada kenyataan yang dibuat.
“Oleh kerana ketinggian emosi dan sentimen orang Melayu terhadap DAP, maka (bekas perdana menteri) Najib (Razak) yang dikeskan tidak dapat apa-apa perhatian,” kata Rais seperti dipetik dalam laporan Utusan Malaysia hari ini.
Bekas penasihat kerajaan itu juga berkata, manifesto pemansuhan tol antara 11 malam hingga 5 pagi juga tidak membantu mereka di PRK Semenyih.
Pengumuman itu katanya menjadi bahan ejekan dan melonjakkan tanggapan PH tidak serius dalam usaha mereka memansuhkan tol.
“Sebenarnya isu tanpa tol 11 malam hingga 5 pagi ini PH kena dengar hujah sebelah sana (BN) dan perlu dianalisa jika PH hendak terus menampakkan diri sebagai pembela rakyat.
“Imej PH sebagai pembela rakyat telah luntur di Semenyih bila mana PRK DUN Rantau yang bakal menyusul tidak memberikan masa yang cukup untuk PH menangani isu-isu yang merejamnya,” kata Rais.
Jelasnya, tindakan serta-merta terhadap dasar dan manifesto PH perlu dihuraikan dengan jelas memandangkan penurunan 12 sen harga minyak dan tanpa tol tidak berkesan.
Rais berkata, isu berhubung dakwaan PAS menerima RM90 juta daripada Umno juga tidak berkesan dalam PRK Semenyih.
Malah perebutan yang berlaku dalam kalangan ahli PKR untuk bertanding kerusi DUN Rantau juga menjejaskan peluang mereka.
“Keputusan di PRK Semenyih menggegarkan keyakinan dan kepercayaan banyak pihak terhadap PH dan Bersatu. Apa yang berlaku di Semenyih adalah pelajaran sementara buat PH.
“Dan memandangkan PRK DUN Rantau tidak lama lagi, situasi perebutan dalam kalangan sesama sendiri ahli PKR untuk bertanding di situ menjejaskan persediaan PH untuk merampas kerusi berkenaan,” katanya.
PRK Semenyih menyaksikan BN berjaya merampas semula kerusi tersebut dengan majoriti 1,914 menewaskan PH yang hanya meraih 17,866 undi.
Nik Aziz Afiq Abdul mewakili Parti Sosialis Malaysia memperoleh 847 undi manakala calon bebas Kuan Chee Hong 725.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengakui antara sebab kekalahan itu adalah sentimen agama dibangkitkan parti lawan yang berkerjasama dalam pakatan PAS-Umno. – TMI