Kemenangan calon DAP, Vivian Wong dalam pilihan raya kecil Sandakan, Sabah yang memperolehi undi sebanyak 16,012 undi menewaskan calon PBS, Linda Tsen (4,491 undi) merupakan sesuatu yang luar biasa di tengah-tengah kemerosotan pengaruh Pakatan Harapan.
Menurut Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, kemenangan itu jelas menunjukkan kematangan pengundi di Sabah berbanding di Semenanjung yang terpengaruh dengan retorik perkauman bodoh dan agama sempit dimainkan oleh Umno dan Pas.
Katanya, Sabah yang pernah menjadi deposit tetap BN kini berpihak kepada PH menjelang pilihan raya umum ke 15 kelak.
“Majoriti yang besar untuk Vivian menunjukkan bahawa pengundi di Sandakan menolak retorik perkauman yang kuat diuar-uarkan oleh pihak pembangkang di Semenanjung. Walaupun bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah cuba membantu kempen PBS, ia terbukti telah gagal sama sekali,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Selain itu, Ming Kai juga berkata kemenangan DAP sebahagian besarnya berpunca daripada kehebatan imej dan hasil kerja Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal yang berjaya merakyatkan ekonomi negeri dalam masa setahun.
Katanya, melihat kepada pembaikan kedudukan ekonomi Sabah yang berterusan maka pengundi Islam juga memberi undi yang besar kepada DAP sehingga parti itu menang di kesemua pusat derah mengundi.
“Tanpa usaha gigih dari Ketua Menteri Sabah itu, pengundi-pengundi Islam-Bumiputera dari Kampung Sim Sim dan Pulau Berhala tidak akan menyokong DAP.
“Ini membuktikan racun sentimen perkauman telah gagal mempengaruhi pengundi di Sandakan dan saya harap situasi yang sama akan wujud di Semenanjung apabila rakyat membuka minda mereka untuk mengikis ideologi perkauman yang sedang kuat disebarkan oleh pihak pembangkang Umno dan Pas,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar faktor kemenangan di Sabah dikaji dan diterapkan dalam strategi memenangani hati pengundi Melayu – Islam di Semenanjung.
“Kemenangan DAP ini juga memberi ilham kepada PH untuk bekerja dengan lebih rajin lagi untuk menemui dan menerangkan isu-isu semasa kepada masyarakat Melayu supaya mereka tidak akan diperdayakan dan dipengaruhi oleh unsur-unsur perkauman.
“Kita di PH mesti memulakan gerak-kerja sekarang selagi ada masa sebelum PRU15 sebab untuk mendidik minda sesuatu masyarakat adalah satu projek yang memerlukan masa yang lama dan usaha yang gigih,” katanya lagi.