Rakyat Malaysia tidak lagi berupaya menanggung kenaikan harga barang yang terlalu tinggi.
Dalam tinjauan Suara Pakatan Daily, golongan B40 mahu kerajaan memberi lebih banyak subsidi sekiranya tidak berupaya menurunkan harga barang sebagaimana yang dijanjikan dalam kempen pilihan raya umum ke 14 lalu.
Bagi seorang peniaga makanan kecil-kecilan, Kak Maimunah, beliau tidak mengambil kira sangat mengenai pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan dan sebagainya. Hanya yang menjadi harapan beliau dan keluarga ialah membeli barang keperluan dengan harga lebih rendah.
“Saya tidak faham mengapa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih gagal mengawal harga barang. Jika anda pergi ke pasaraya setiap minggu, anda akan dapat lihat bahawa kalau bukan harga barang ini yang naik, harga barang itu pula yang naik.
“Harga minuman, bijirin, harga ubat gigi, harga sabun membasuh pakaian dan harga pelbagai jenis barang (yang boleh dimakan atau yang tidak boleh dimakan) semuanya telah mengalami kenaikan.
“Jika Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan pergi memantau harga barang setiap minggu di rangkaian pasaraya yang besar dan kedai barang runcit, beliau akan nampak peningkatan harga bagi banyak barangan,” katanya.
Menurut beliau lagi, hanya harga ayam dan beras sahaja yang dikawal tetapi harga lain-lain barangan telah mengalami peningkatan sebanyak 20 hingga 30 sen sejak awal bulan April lalu.
“Harga minyak RON95 pula masih kekal pada RM2.08 seliter padahal harga kini di pasaran dunia adalah di persekitaran AS$59 setong. Dulu pada bulan Mei, harganya ialah persekitaran AS$72 setong.
“Sekarang harga di pasaran dunia sudah turun tetapi harga di Malaysia masih gagal diturunkan. Selain dari itu, tiada pula berita mengenai ‘petrol card’ untuk kumpulan B40 yang memiliki hanya sebuah kereta 1500 c.c. ke bawah.
“Saya amat kecewa Kerajaan PH belum mengambil tindakan untuk mengawal kos sara hidup,” tambah Kak Maimunah.
Pandangan beliau ialah jika Kerajaan PH tidak mengambil tindakan untuk menangani isu tersebut, maka kemenangan dalam pilihan raya umum yang akan datang bukanlah satu kepastian.
“Sekarang pun ada ramai orang Melayu yang menyesal mengundi PH dan ramai yang berkata mereka akan undi BN pada masa depan. Saya menggesa Kerajaan PH supaya menurunkan harga minyak RON95 dengan segera atau melancarkan penggunaan ‘petrol card’ pada bulan Julai yang akan datang ini,” kata beliau lagi.