Peguam yang mewakili Mohamed Azmin Ali hari ini berkata individu di sebalik klip video yang didakwa membabitkan menteri hal ehwal ekonomi itu mempunyai akses kepada “data peribadi ahli parti yang dibocorkan”.
N Surendran, yang berkata Azmin memberikan kenyataannya kepada polis semalam, juga bercakap mengenai “tanda-tanda jelas satu cubaan yang teratur dan sistematik untuk mencemar nama baik dan menjatuhkan menteri itu”.
“Video itu adalah fitnah dan serangan bermotif politik terhadapnya.
“Para pelaku mempunyai akses terhadap data peribadi ahli parti yang dibocorkan, peralatan canggih dan agenda politik yang jelas.
“Kami percaya polis akan berjaya menyiasat perkara ini tidak lama lagi, dan mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pelaku mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Mazlan Mansor berkata, pasukan petugas yang terdiri daripada pegawai kanan polis, wakil dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain sedang meneliti kesahihan klip video seks itu.
Beliau berkata tiada keperluan untuk mendapatkan kepakaran asing setakat ini.
Setakat ini, polis sudah merekodkan 21 keterangan berhubung perkara itu.
Klip itu, yang tersebar di media sosial minggu lepas, menunjukkan 2 lelaki yang didakwa melakukan aktiviti homoseksual.
Pemimpin Pemuda PKR, Haziq Aziz, pembantu kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, mendakwa beliau adalah salah seorang daripada lelaki terbabit dan mendakwa Azmin sebagai individu kedua. Azmin dengan tegas menafikannya dan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung perkara itu. – FMT