Kelab Anak Muda Harapan Pulau Pinang (KAMHPP) menolak budaya politik kotor dan fitnah jelik yang melibatkan seorang menteri kanan dalam Pakatan Harapan.
Pengerusi KAMHPP, Haidhar Auni Dzolkapli berkata, ia adalah perkara serius dan perlukan siasatan menyeluruh termasuk melibatkan pihak yang menyebarkan video yang tidak senonoh itu.
“Fitnah dan permainan politik jelik ini amat memualkan semua pihak dan memberi impak negatif kepada pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan yang kini sedang bertungkus lumus mengembalikan ekonomi negara ke landasan sebenar.
“Malaysia telah dirosakkan oleh pentadbiran kerajaan lalu dengan skandal-skandal kewangan lain yang telah menyebabkan negara tercinta ini dilabel sebagai negara korupsi,” Katanya.
Menurutnya, tuduhan melampau seperti itu tidak harus dibiarkan kerana boleh memberi impak negatif terhadap pentadbiran kerajaan.
“Pihak berkuasa harus menyiasat segera tuduhan dan fitnah ini serta menangkap mereka yang disyaki mengubahsuai, menyimpan dan menyebarkan video tersebut.
“Jika ia tidak dibendung, mungkin perkara ini akan menjadi satu budaya pembikinan video-video jelik kepada pemimpin-pemimpin lain pada masa akan datang,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Tegasnya, pihak kerajaan juga harus membuat tapisan latar belakang politik untuk penjawatan lantikan politik, dan bukan sekadar berdasarkan merit atau kelayakan semata-mata.
“Individu yang mempunyai sejarah lampau pernah bersama parti politik lawan tidak harus diberi peluang langsung dalam pentadbiran Kerajaan Baharu yang ingin membawa agenda Malaysia Baru.
“Mereka yang dimaksudkan ini, boleh menjadi duri dalam daging untuk mensabotaj pentadbiran dari dalam,” katanya.