Kerajaan didesak melakukan penyiasatan menyeluruh ke atas skandal projek Pusat Fidlot Nasional yang gagal mencapai matlamat menyediakan daging lembu secukupnya ke dalam pasaran tempatan.
Perkara itu diutarakan oleh ahli parlimen Kelang yang juga Timbalan Pengerusi DAP Selangor Charles Anthony Santiago. Katanya, tanpa kertas putih siasatan isu yang berkaitan wang rakyat itu akan hilang begitu sahaja sebagaimana beberapa skandal kewangan yang terdahulu
“Kontroversi projek ternakan lembu telah melebar ke pembelian kondominium berharga RM9.8 juta, kononnya untuk tujuan pelaburan. PKR telah mengeluarkan angka penyalahgunaan dana awam manakala kerajaan menafikannya. Saya cadangkan kerajaan lakukan satu penyiasatan yang rapi dan keluarkan kertas putih berhubung isu ini
“Kita diberitahu selepas pilihanraya kerajaan akan melaksanakan cukai GST. Apa yang berlaku rakyat tidak puas hati, wang negara tiris dan wang mereka pula dikutip lebih banyak untuk perbelanjaan kerajaan. Pada sisi lain, keluarga menteri mendapat projek, membeli kondominium dan wang rakyat digunakan untuk membiayai semua perkara itu,” katanya.
Santiago turut membidas kenyataan terbaharu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Noh Omar kononnya National Feedlot National Corporation Sdn Bhd (NFC) adalah syarikat swasta dan kerajaan tidak terlibat dalam urusan kewangan mereka. Beliau berkata, kenyataan Noh itu jelas ingin memperbodohkan rakyat ketika BN hilang punca menghadapi skandal kewangan terbesar pada 2011
“Sekiranya NFC bukan projek kerajaan mengapakah Ketua Audit Negara terlibat dan mendedahkannya dalam laporan audit. Penglibatan Ketua Audit jelas membuktikan projek ini menggunakan wang kerajaan.
“Skandal ini hanya mendedahkan sikap Umno-BN yang berusaha keras melindungi Shahrizat. Pada saya sekiranya Najib mahu membuktikan pentadbirannya telus dan bertanggungjawab, beliau mestilah mengarahkan Shahrizat bercuti sehingga kes tersebut selesai,” katanya.