Gangguan bekalan air di banyak kawasan di Lembah Klang antara 23 hingga 26 Julai ini membuat rakyat persimis dan sukar mempercayai masalah bekalan air boleh ditangani oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, warga Selangor dan Kuala Lumpur telah dibuli oleh kerajaan BN yang tidak meluluskan pinjaman berbilion ringgit bagi mengambilalih syarikat konsesi air dan mendanai program baik pulih paip-paip lama.
Namun selepas setahun HARAPAN mengambilalih kerajaan pusat dan syarikat air menjadi milik kerajaan Selangor, gangguan tetap berlaku. Maka rakyat tidak boleh dipersalahkan selepas ini jika menganggap perkhidmatan air tidak mungkin boleh diperbaiki.
Menurut John Chong, 50 tahun, pengurus sebuah kilang di Taman Perindustrian Kepong (KIP), masalah gangguan bekalan telah menjadi kebiasaan dan secara sinikal Malaysia tidak akan mencapai standard negara maju dalam menyediakan perkhidmatan air kepada rakyatnya.
“Ini kali kedua kawasan Kepong mengalami gangguan bekalan air setelah berlaku pada bulan April lalu. Terdapat banyak kilang di sini. Gangguan menghentikan kerja-kerja pengilangan dan kami akan mengalami kerugian yang besar. Saya harap dengan kali kedua ini semua kerja penambahbaikan akan diselesaikan sekaligus dan perkara seperti ini tidak akan berulang lagi,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Berikutan gangguan itu, Chong menambah ramai kalangan rakan-rakanya yang menyokong PH merasa kecewa dengan prestasi kerajaan terkini.
“Tidak dapat dinafikan masyarakat usahawan kecewa dengan Kerajaan PH sebab nampaknya sehingga sekarang tidak banyak dapat dilakukan untuk memulihkan ekonomi negara.
“Kita tahu banyak wang telah disonglapkan atau diselewengkan oleh pentadbiran yang lama tetapi sehingga kini tiada seorang pun yang dipenjarakan untuk perbuatan jenayah mereka walaupun terdapat bukti yang banyak. Masyarakat usahawan lambat-laun mungkin akan hilang keyakinan jika ekonomi terus lembab dan pemimpin-pemimpin yang menyalahgunakan kuasa masih bebas berjalan di sana-sini,” ujar Chong.
Beliau juga berpendapat ada setengah-setengah puak yang mungkin sedang mensabotaj Kerajaan PH kerana sejak PH mengambil alih Putrajaya, terdapat banyak masalah dari segi urus-tadbir.
“Pandangan saya sesiapa sahaja yang mensabotaj Kerajaan patut diganti atau dipecat dan orang Melayu dari koalisi PH patut mengambil-alih jawatan atau tugas tersebut,” tegas Chong.