Meski pun terdapat usaha bermati-matian BN menggunakan isntitusi kehakiman untuk menyumbat Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sebelum pilihanraya umum ke-13 diisytiharkan namun Pakatan Rakyat berikrar Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap menjadi bakal Perdana Menteri ke-7 selepas pilihan raya umum akan datang.
Tekad itu dilaungkan oleh Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dalam kongres kali ke-8 di Pulai Spring Resort, Johor.
“Ingatan keras untuk Umno, apa-apa pun konspirasi untuk memenjarakan Anwar Ibrahim, kami akan bangkit meruntuhkan kezaliman penjara untuk membebaskan Anwar.
“Pakatan Rakyat sepakat Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh,” kata Azmin disambut tepukan gemuruh lebih 1,000 hadirin.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian Kongres Nasional KEADILAN Tahunan ke-8 di Pulai Spring Resort, dekat sini hari ini.
Tambah Azmin, keyakinan itu adalah kerana PKR dan Pakatan Rakyat sudah bersedia untuk mentadbir Putrajaya.
“KEADILAN dan Pakatan Rakyat sudah bersedia. Kita sudah ada dasar bersama, kita sudah ada Buku Jingga, kita sudah ada Belanjawan Pakatan Rakyat.
“Kita sudah bersedia ke Putrajaya,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar ahli parti bersedia bekerja lebih keras untuk memastikan momentum sokongan kepada
PKR terus meningkat dan rakyat menang melawan Umno.
“Semua jentera dan kekuatan harus digerakkan sekarang sebagai penerus kepada momentum sedia ada.
“Pilihan raya ini bukanlah semata-mata kemenangan KEADILAN. Ia adalah pilihan raya untuk rakyat.
“Kemenangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bermakna kemenangan rakyat menentang kezaliman dan kebobrokan
Umno,” kata Azmin.