PKR memberi jaminan calon-calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada pilihanraya umum akan datang akan disaring dengan teliti. Hanya calon yang tidak akan melompat parti setelah menang sahaja akan dibenarkan bertanding.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan perkara itu dalam ucaptama di hari kedua Kongres PKR ke-8 di Johor hari ini.
“Kami ingin memberi jaminan bahawa calon yang bakal ditonjolkan dirundingkan terlebih dulu dengan cabang dan akar umbi, terdiri daripada mereka yang layak dan diyakini punya prinsip perjuangan dan tidak mungkin dituai dengan jutaan ringgit sogokan musuh,” kata Wan Azizah.
Dalam ucapan sama, Wan Azizah turut meniup semangat juang menghadapi pilihan raya umum akan datang yang mungkin berlangsung pada bila-bila masa sahaja.
Menurutnya, cabaran terbesar PKR iaitu untuk memenangi hati rakyat perlu terus didepani walaupun berdepan kekangan seperti pilihan raya yang tidak bebas mahu pun adil.
“Sekiranya kita dapat menembus malah menumpas kubu Umno-BN dengan segala kekurangan dan keterbatasan yang ada kita pasti berupaya mencatat keputusan cemerlang sehingga ke Putrajaya, Insya-Allah,” kata Wan Azizah.
PKR juga, kata Wan Azizah, perlu membebaskan Malaysia dari ‘penguasa elit’ yang terus membiarkan rakyat menderita dan menafikan hak mereka mendapat terbaik dalam kehidupan.
“Malaysia negara berpotensi besar. Rakyatnya yang bersaudara gigih berusaha. Negara dibina atas landasan agama dan akar budaya.
“Namun, cita-cita kita direncat oleh elit kekuasaan. Rasuah dan ketamakan membarah. Rakyat dibiarkan menderita dengan kepayahan hidup.
“Setiap daripada kita berhak mendapat yang terbaik. Pendidikan berkualiti, kebajikan terbela, peluang saksama dan pentadbiran beramanah menanti kita,” kata Wan Azizah.