Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyifatkan Perbentangan Bajet 2012 Negeri Perak oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 21 hingga 25 November yang lalu tidak meyakinkan berikutan Kerajaan Negeri Perak yang dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) tidak dapat memastikan ketelusan dan integriti BN untuk menarik pelabur sama ada tempatan mahupun asing tidak menjadi agenda utama untuk membersihkan imej buruk sebelum ini.
Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata kerajaan BN langsung tidak menjawab kelemahan Kerajaan Negeri dan para ADUN yang ditimbulkan oleh Pakatan Rakyat. Hal itu pastinya akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap integriti Kerajaan Negeri
“Pendedahan terhadap seorang EXCO Kerajaan Negeri Perak yang pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih tidak terjawab dan turut didedahkan oleh Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin di dalam Sidang DUN yang tidak diberikan jawapan konkrit oleh Datuk Seri Zambry. Ini termasuk pelbagai pendedahan terhadap Pegawai Pejabat Menteri Besar Negeri Perak dengan unsur kewangan yang langsung tidak dinafikan oleh Datuk Seri Zambry sehingga kini.
“Dalam sidang DUN Perak baru-baru ini, ADUN Pakatan Rakyat (PR) menyuarakan ketidak telusan pelbagai isu antaranya isu pemberian tanah yang hangat diperkatakan, isu peruntukan menarik pelancong yang bersifat pembaziran dan beberapa cadangan ADUN PR yng dibakul sampahkan oleh Datuk Seri Zambry terutamanya semasa ucapan pergulungannya.
“Suasana ini jelas menunjukkan bahawa BN masih mengekalkan budaya tidak sihat di dalam mengurus kerajaan negeri dan tiada bersikap integriti bagi membersihkan pentadbiran mereka,” katanya.
Jelasnya, Dewan Pemuda PAS bersetuju dengan perbahasan Datuk Seri Nizar di dalam Sidang DUN bahawa BN masih mengekalkan ketidak telusan di dalam mentadbir kewangan rakyat dan rakyat harus menghukum BN kerana terus melakukan kesalahan yang sama walaupun telah dihukum oleh rakyat Perak sebelum ini