Mungkin tidak ramai yang mampu ingat isi kandungan ucapan kali terakhir Dr Mahathir sebagai presiden parti di Perhimpunan Agung Umno tahun 2002. Dalam ucapan penggulungannya selepas perwakilan berpesta-pora mencaci pemimpin Barisan Alternatif (BA) ketika itu, Dr Mahathir berkata, sekiranya semangat yang ditunjukkan di perhimpunan itu diterjemahkan oleh akar umbi, beliau yakin Kelantan dan Terengganu (di bawah pemerintahan PAS-BA) mampu ditawan.
Dua tahun kemudian, dalam pilihanraya 2004, Terengganu benar-benar tenggelam dipukul arus Gelombang Biru. Bersama gelombang itu Ketua Perhubungan Umno Terengganu waktu itu, Idris Jusoh, menjanjikan rakyat akan melihat kemajuan yang tidak pernah mereka lihat, 25,000 peluang pekerjaan dan pelbagai jenis bantuan sara diri serta keluarga.
Namun, hakikatnya bukan janji-janji manis yang memenangkan BN di Terengganu. Faktor yang memenangkan BN adalah penipuan bersar-besaran daftar pengundi.
Game of numbers
Sepuluh tahun telah berlalu, suasana yang sama kini berlaku sekali lagi di PWTC. Dr Mahathir memang terlalu tua untuk mengepalai Umno, tetapi anak didiknya Najib Razak berkobar-kobar memberi amaran BN akan menang majoriti 2/3 kerusi parlimen dalam pilihanraya akan datang. Selangor menjadi pertaruhan maruah BN dalam misi mengganyang pembangkang. Memang sebagai gimik, Anwar yang menjadi penasihat ekonomi Selangor mencabar balas seterunya Najib, Ketua Perhubungan Umno Selangor agar menawan negeri itu tetapi dalam masa sama PR akan menawan Putrajaya. Bagaimanapun, di atas kertas Selangor tidak sukar untuk dikuasai BN. Mereka bersedia dengan strategi ‘game of numbers’.
Umum sedar pengundi di Malaysia tidak memiliki sepenuhnya hak mengundi. Kononnya, rakyat adalah pelanggan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berkhidmat menyediakan kemudahan mengundi. Jika benar kontrak perkhidmatan wujud, sudah tentu kepala pengerusi SPR lunyai disepak rakyat lantaran kesilapan berulang-ulang daftar pemilih yang menjolok mata sejak puluhan tahun tanpa berjaya diperbaiki.
Hakikatnya, SPR adalah badan yang berkuasa mutlak ke atas hak mengundi. Badan ini menentukan di manakah setiap rakyat boleh membuang undi. Bukan rakyat memutuskan di mana mereka mahu mengundi. Terdapat banyak kes nama pengundi ditukar ke lokasi mengundi yang jauh tanpa pengetahuan mereka. Di negara bertamadun, SPR boleh disaman jika berbuat demikian. Namun di Malaysia rakyat hanya boleh membuat bantahan, biar pun selepas dibantah nama ditukar pula ke tempat lain tanpa persetujuan, tetap tidak ada apa-apa tindakan undang-undang yang boleh diambil.
Namun bantahan bukanlah boleh dibuat di dalam semua keadaan, kerana SPR berkuasa menukar lokaliti para pengundi pada bila-bila masa. Bagaimanakah untuk membantah andainya SPR menukar lokaliti seminggu sebelum Parlimen dibubar? Perkara hampir sama berlaku pada pilihanraya 2004. Terdapat banyak laporan pengundi keliru nama mereka wujud dalam buku daftar di ‘pondok panas’ tetapi dalam buku daftar SPR di dewan mengundi tidak wujud. Terdapat dakwaan perubahan lokaliti dibuat hanya beberapa minggu sebelum Parlimen dibubar dan perubahan itu digazetkan.
Beberapa kes ‘penipuan’ pilihanraya 2004 dibawa ke mahkamah. Bagaimanapun hakim mengemukakan hujah mudah, kawasan yang dimenangi BN adalah dalam jumlah majoriti yang besar, bukan hanya beberapa undi. Sekiranya daftar pengundi tidak tercemar sekali pun, BN tidak mungkin kalah. Kes dibuang.
Game of numbers mungkin akan dipraktikkan secara meluas pada pilihanraya ke-13 demi mendapatkan majoriti 2/3. Isyarat awal permainan ini telah pun dikesan oleh Pengarah Pilihanraya KEADILAN Fuziah Salleh dan didedahkan dalam ucapannya di Kongres KEADILAN.
Katanya, Selangor menjadi sasaran pemecahan lokaliti di mana ramai pengundi diubah tempat mengundi dan terdapat kawasan-kawasan yang digabungkan.
“SPR pada hari ini digunakan oleh BN untuk memenangkan mereka. Sejumlah 587, 608 pengundi di Selangor telah dipindahkan lokaliti mereka. Ada kemungkinan ditukar pusat mengundi, kemungkinan ditukar ke DUN atau parlimen lain.
“Gombak paling teruk. Mereka ubah lokaliti dan menjadikannya satu lokaliti besar. Sebagai contoh Jalan Laksamana 1 hingga Laksamana 10 dijadikan satu lokaliti,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun belah bahagi dibenarkan undang-undang tetapi perpindahan pengundi dari DUN ke DUN lain salah dari sudut undang-undang.
“Di Selangor 1,771 pengundi sudah dipindahkan dari satu DUN ke DUN lain. Ini berlaku dari 2008 hingga sekarang dan 2,479 telah dipindahkan dari satu parlimen ke parlimen lain. Yang paling terkesan adalah Sabak Bernam, 1,169 pengundi dipindahkan dari sana”
Kalah teruk
Perkara sama adalah penyebab KEADILAN kalah dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor 2010 lalu. Banyak nama penyokong PR dipindah keluar dari parlimen itu ke parlimen Selayang yang berhampiran.
Dengan taktik seperti ini BN boleh melakarkan kemenangan di sekurang-kurangnya dua negeri, Kedah dan Selangor yang mana masing-masing BN memerlukan 1 dan 5 kerusi sahaja untuk menang. Pemindahan lokaliti juga boleh mengalahkan DAP di kubu-kubu sederhana kuat. Caranya, memindahkan penyokong parti itu ke kawasan DUN atau parlimen yang mana DAP tidak boleh dikalahkan. Kawasan itu dilepaskan, tetapi kawasan berhampirannya tentu sekali telah didominasi penyokong BN.
Ketua Pemuda DAP Anthony Loke pernah mengadu terdapat penambahan pengundi yang mendadak di kawasannya. Apabila disiasat sebahagian pengundi itu datang dari rumah kebajikan dan telah dipindah masuk ke DUN Lobak di mana Loke mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2008 lalu.
Game of numbers berlaku setiap sedekad. Cuma kesan kali ini mungkin tidak sebesar 2004 di mana pembangkang kalah teruk. PAS hampir tumbang di Kelantan, DAP tinggal 10 kerusi parlimen dan KEADILAN hanya menang kerusi Permatang Pauh. Ketika itu selain pemindahan lokaliti, pemecahan sempadan turut dilakukan yang mana penyokong pembangkang dikenal-pasti terlebih dahulu oleh pasukan culaan (maklumat sokongan) parti-parti komponen BN, kemudian sempadan dilakar berasaskan peta sokongan pengundi.
Kali ini SPR mengakui persempadanan semula tidak akan berlaku jika pilihanraya dilaksanakan dalam masa terdekat, namun jika pilihanraya ditunda selepas bulan April 2012 maka tiada siapa mampu memberi jaminan persempadanan semula tidak akan berlaku.
Inilah perkara yang perlu disedari oleh kader-kader politik PR. Janganlah terlalu seronok dengan kemaraan ke Putrajaya kerana masih banyak rintangan dan penipuan yang perlu ditempuh di semua peringkat.
Game of numbers hanya akan musnah apabila lebih 60 peratus penduduk Malaysia menolak BN. Ketika itu undi BN mengecil dan tidak akan memberi apa-apa kesan biar pun dimanipulasikan. PRU 2008 rakyat hampir-hampir melakukannya, penyokong atas pagar dan ahli BN mengundi pembangkang. Bagaimanapun masyarakat luar bandar memberi hampir kesemua undi kepada BN!
Sekiranya kader-kader PR mampu merobah minda penyokong dan ahli BN, maka dengan mudah mereka boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Najib dan kabinetnya walaupun pilihanraya belum diisytiharkan.