Saya mengambil kesempatan ini untuk mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas perlantikan DYMM Al Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan DYMM Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, masing-masing selaku DYMM Yang di-Pertuan Agung dan DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agung yang ke XIV.
Selaku rakyat yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu sebagai teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, saya merasa bangga dan bertuah menyaksikan perlantikan Tuanku berdua.
Selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua bagi Ke Bawah DYMM Al-Sultan Kedah, sudah tentu memberikan nostalgia zaman anak-anak saya dengan ketinggian budi, hemah, bijaksana dan mesra rakyat ke Bawah Duli Tuanku sewaktu berada di atas singgahsana sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali pertama dahulu. Insya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, Malaysia akan terus bersatu maju, adil, makmur, maju dan aman damai dengan Islam selaku agama Persekutuan mengambil tempat yang selayaknya.
Terlebih lagi gembira dan bersyukur saya selaku rakyat Kelantan atas perlantikan Tuanku Sultan Muhammad V selaku DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agung yang baru. Perkenan kekanda ke Bawah DYMM Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Kelantan selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agung besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.
Besar pula maknanya bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim yang menyambut anugerah ini dengan penuh syukur dan seribu harapan.
Saya penuh yakin, Ke Bawah Duli Tuanku mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negeri ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik, berjiwa agama dan berdedikasi yang ada pada Tuanku.
Selama ini, dalam tempoh yang singkat, Tuanku menjadi kebanggan rakyat Kelantan dan rasa bangga itu akan Insya Allah akan dikongsi pula oleh seluruh rakyat Malaysia.
Saya juga mengucapkan junjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agung ke XIII, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atas khidmat baginda yang cemerlang. Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan ‘afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan. Seterusnya memberikan ganjaran atas khidmat baginda dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Doa saya yang berterusan untuk Tuanku berdua, dunia dan akhirat.
Dato’ Husam Haji Musa
Naib Presiden PAS merangkap Ahli MMK Negeri Kelantan Darul Naim
17 Muharam 1433 / 13 Disember 2011