Isu bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hassan Ali akan meninggalkan PAS lewat kenyataan medianya yang kontroversi beberapa hari lalu tidak menimbulkan kebimbangan di kalangan pemimpin PAS yang lain.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berpendapat soal keluar masuk parti adalah perkara biasa dalam sejarah 50 tahun PAS dan ia sama sekali tidak menjejaskan parti
“PAS telah mengalami kehilangan beberapa pemimpin dalam sejarah parti ini. Pernah Presiden parti Dato’ Asri keluar PAS, Naib Presiden Nakhaie Ahmad meninggalkan kita. Sebelum itu ayah Abdullah Badawi, Ahmad Badawi juga meninggalkan PAS pada saat awal penubuhan PAS. Hal ini perkara biasa.
“Tapi bukan saya maksudkan suruh orang keluar atau tujukan kepada sesiapa. Cuma saya kata parti tidak halang. Kita ikut lunas demokrasi,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur, hari ini.
Mahfuz juga mengulas mengenai pertanyaan wartawan mengapakah Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip membocorkan tahap sokongan ke atas Hassan Ali biar pun senarai pencalonan layak bertanding itu baru di peringkat negeri. Kata Mahfuz, yang penting adalah sokongan di peringkat akar umbi, sekiranya seseorang calon telah ditolak maka parti biasanya tidak akan memilih calon itu.
“Proses memilih calon untuk bertanding di sesuatu kawasan dalam pilihanraya dibuat secara terbuka dan demokratik. Ada satu pasukan yang buat penilaian. Mereka akan bertemu jawatankuasa peringkat cawangan dan borang-borang pencalonan dari cawangan akan diberikan kepada jawatankuasa ini
“Borang-borang itu akan dibawa balik ke negeri dan diangkat kepada perhubungan negeri. Bagaimanapun penerimaan di peringkat cawangan terhadap seseorang calon itu amat penting. Sebab hanya PAS cawangan sahaja yang tahu sama ada calon itu perform atau tidak. Selalu turun padang atau tidak.
“Kemudian pencalonan bersama rekomendasi akan dibawa ke PAS Pusat dan Majlis Syura. Proses ini sangat telus dan tidak perlu dipertikaikan,” katanya.
Mahfuz juga membidas media pro BN yang mensensasikan isu beberapa pemimpin PAS akan meninggalkan parti itu kononnya tersisih dari kelompok Erdogan.
“Kalau ikut media pro Umno PAS sudah lama habis. Ahli telah keluar semua, termasuk pemimpinnya” sinis beliau.