Perjalanan panjang perbicaraan kes fitnah II Anwar Ibrahim akan sampai ke penghujungnya pada 9 Januari depan. Keputusannya akan diketahui pada tarikh tersebut. Namun banyak pihak telah menjangka apa yang bakal diumumkan oleh hakim berdasarkan perjalanan perbicaraan yang tidak banyak berbeza berbanding kes fitnah I pada 1999 .
Tepat seperti kata kolumnis terkenal Hishamuddin Rais ketika Anwar dituduh meliwat Saiful pada Jun 2008 lalu. Kata Hisham, fitnah kali kedua ibarat filem lama dilakonkan semula. Bagaimanapun katanya, filem yang mendapat sambutan hebat pada suatu waktu belum tentu akan menarik penonton apabila ditayangkan kembali.
Benar. Filem bikinan semula fitnah II ini tidak mendapat sambutan. Malah media pro-BN pun segan melaporkannya secara besar-besaran seperti mana perbicaraan 1999 lalu. Ketika itu wajah Anwar menjadi penghias muka depan Utusan Malaysia dan Berita Harian. Namun kali ini tidak sampai sepuluh kali wajah Anwar disiarkan di muka depan Utusan.
Apakah sebabnya? Mudah sahaja, tiada siapa lagi percaya dengan fitnah yang menggunakan ‘khadam’ hakim, pendakwaraya dan skrip hampir sama seperti fitnah I. Malah seksyen yang digunakan untuk membicarakan Anwar, 377B, tidak sepatutnya digunakan sama sekali. Kes fitnah I yang menggunakan seksyen itu – liwat paksa ?telah disepakati oleh hakim Mahkamah Persekutuan sebagai tidak berasas kerana tidak terdapat bukti unsur paksaan digunakan oleh tertuduh ke atas mangsa. Maka Anwar dibebaskan pada September 2004.
Rakyat tidak percaya
Majoriti rakyat melihat kes liwat ini hanyalah permainan politik. Namun ketidakpercayaan itu tidak pula mengubah tahap sokongan ke atas BN. Majoriti orang Melayu – menurut kajian pensyarah di UIAM dan UiTM – lebih menghargai pemberian hadiah BN daripada berjuang mempertahankan Anwar yang dianiaya. Jadi mengapakah BN terlalu takut tarikh 9 Januari? Sehingga tidak teragak-agak mengarahkan FRU membanteras apa sahaja perhimpunan pada tarikh tersebut.
Apakah masalahnya membenarkan penyokong Anwar berhimpun di depan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur? Hanya beberapa ribu orang. Laungkan Reformasi dan bersurai sejam kemudian. Najib masih jadi PM. Rosmah masih bini Najib. Umno masih kukuh dan MIC tidak akan lari ke dalam Pakatan.
Jawapannya, pengaruh Anwar masih berbisa. Tidak banyak pemimpin yang telah dihumban ke jurang gelap gelita politik mampu bangkit semula. Setelah dibebaskan, Anwar banyak bertugas di universiti Amerika Syarikat dan dianggap bukan lagi musuh yang ampuh bagi politik BN. Pilihanraya kecil Ijok 2006 mengenengahkan calon Tan Sri Khalid Ibrahim dan sokongan padu KEADILAN seluruh negara berakhir dengan kekalahan memalukan. Bintang Anwar langsung tidak menyinar
Namun pada 2007 secara agreasif beliau bangkit, berceramah ke seluruh negara menyedarkan rakyat betapa buruknya pentadbiran Pak Lah. Ekonomi tidak seimbang dan gejala rasuah menjolok mata. Mac 2008, berlaku perubahan yang tidak boleh diterima akal. Buat pertama kali dalam sejarah seluruh rakyat tanpa mengira kaum berani menolak BN. Amat mengejutkan, dan semua itu berlaku semata-mata kerana satu sosok yang memukau, iaitu Anwar.
Reformasi kembali
Sosok ini juga pernah menakutkan BN pada 1998, beliau berjaya menghimpunkan 100,000 rakyat di Masjid Negara dan Dataran Merdeka. Suasana mirip revolusi Reformasi pimpinan Amein Rais di Indonesia ketika menggulingkan Suharto. Buat pertama kali dalam sejarah ketika itu, rakyat tidak takut menunjuk perasaan secara besar-besaran. Rakyat tidak takut berdepan FRU. Sampai ke satu tahap mereka tidak takut mati, orang Islam bertekad sekiranya terbunuh sewaktu menentang kezaliman mereka akan syahid.
Peristiwa kemaraan Reformasi menjadi mimpi ngeri buat BN. Meskipun penyokong Reformasi pernah ‘merusuh’ pada 14 April 1999 (Black 14) sebaik Anwar dijatuhi 4 tahun penjara dan ‘keganasan’ itu diperbesarkan oleh media massa selama 6 bulan selepasnya, namun pilihanraya November 1999 BN tetap kalah di kawasan majoriti Melayu. Kelantan dan Terengganu disapu bersih oleh Barisan Alternatif. Selama sedekad kemudian tunjuk perasaan besar-besaran tidak lagi mampu dihalang oleh BN dan polis, meskipun mendaruratkan Kuala Lumpur seperti 9 Julai lalu.
Oleh itu, tentunya tarikh 9 Januari depan sangat menakutkan. Malah boleh dikatakan tarikh itu adalah ‘Himpunan Segala Ketakutan’ (The Sum Of All Fears) bagi BN. Reformasi yang akan disegarkan kembali kerana kezaliman berterusan BN ke atas Anwar dan pencabulan institusi kehakiman, dicampur penentangan rakyat yang bosan melihat kerakusan pemimpin merompak harta negara akan menjadi tenaga yang sangat kuat menghumban BN ke Selat Melaka
Meskipun perhimpunan penyokong Anwar kali ini pastinya tidak akan sebesar 20 September 1998 atau 9 Julai 2011, namun mesej yang akan ditunjukkan kepada BN amat jelas. Rakyat tidak boleh bersabar lagi dengan penindasan demi penindasan yang tidak ada titik nokhtah.
Munculnya sistem pesanan ringkas (sms) yang mendakwa kononnya akan berlaku kekacauan pada tarikh tersebut seperti mencurahkan minyak ke dalam api. Tidak lain mesej itu direka khas oleh simpatisan BN. Namun bagi penyokong kebenaran, apa salahnya mereka berdemo pada hari itu. Pemimpin BN sengaja mencipta kes liwat II dan wajarlah menerima kutukan rakyat. Bukankah Najib pada perhimpunan Umno lalu berkata tidak takut melaksanakan demokrasi. Pemimpin demokrasi yang berani akan turun bertemu rakyat dan sanggup dicaci kerana rakyatlah yang melantik dan membayar gaji mereka.
Ada banyak kemungkinan yang boleh dibayangkan dalam Himpunan Segala Ketakutan ini. Iaitu, tunjuk perasaan tidak mampu dihentikan lalu mengekori jejak negara Arab. Ceramah politik pemimpin Pakatan kembali dihadiri puluhan ribu orang seperti 1999 dan 2007. Wujud angkatan perang siber pro-Pakatan secara besar-besaran di alam maya. Lebih banyak generasi muda membenci BN. Dan yang paling ditakui, berlaku revolusi peti undi dalam PRU ke-13.
Kesemua faktor itu tidak jauh di hadapan. Malangnya, tidak seperti perkara lain yang boleh dielak BN, kekecewaan kali ini mustahil dihindar kecuali hakim memutuskan Anwar TIDAK BERSALAH. Dan jika itu berlaku hanya ada satu sebab: Hakim tiba-tiba nyanyuk ketika membacakan keputusan.