Isu melibatkan Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan awam, Datuk Dr Hasan Ali dan barisan kepimpinan PAS adalah isu berkaitan parti itu dan ia tidak menjejaskan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, apa yang berlaku adalah antara PAS bersama Dr Hasan dan ia adalah urusan dalaman parti itu yang hanya akan diselesaikan oleh kepimpinan parti itu.
Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mencampuri urusan dalaman PAS dan sebarang keputusan dibuat akan dihormati oleh PKR dan DAP yang berada dalam gabungan itu.
“Saya ingat perbincangan yang dibuat adalah antara ahli-ahli PAS. Jadi Pakatan Rakyat hanya meninjau dan melihat perkembangan tersebut. Mengenai apa-apa yang dilakukan, itu terpulang kepada keputusan pucuk pimpinan PAS.
“Buat masa ini tiada (masalah bagi Kerajaan Negeri),” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Beli Belah Jusco AEON di sini hari ini.
Abdul Khalid berkata, pihaknya yakin segala apa yang berlaku akan dapat diselesaikan oleh PAS dengan cara berhemah.
“Saya rasa oleh kerana Pakatan Rakyat mengamalkan sikap keterbukaan jadi ‘it’s create no bonding’ dan lebih memahami satu sama lain. Dengan sebab itu pasukan akan lebih mantap,” katanya.
Jelasnya, budaya dan cara seperti ini lebih banyak membawa kebaikan kepada pakatan itu.