Rayuan ke atas kes Fitnah II hanya boleh dilakukan sekiranya Peguam Negara mempunyai bukti-bukti yang kukuh. Naib Presiden KEADILAN, N. Surendrean menegaskan demikian berhubung spekulasi pihak Peguam Negara akan memfailkan rayuan terhadap pembebasan Anwar dalam tempoh 14 hari.
Katanya, kes Fitnah II tidak langsung mempunyai bukti yang kukuh dan keterangan saksi amat meragukan. Oleh itu, rayuan tidak sepatutnya dipertimbangkan.
“Untuk Peguam Negara membuat rayuan perlu ada asas yang kukuh. Sebaliknya dalam kes fitnah yang didalangi UmnoBN ini, keterangan yang dikemukakan dalam perbicaraan tidak kukuh. Isu (percanggahan bukti) yang dikemukakan oleh peguam bela pula tidak dijawab di sepanjang perbicaraan itu
“Jadi, tidak ada asas secara fakta untuk mengemukakan rayuan. Kes ini perlu ditutup sekiranya Peguam Negara (benar-benar) bebas bertindak tanpa campurtangan politik,” katanya yang juga seorang peguam.
Biarpun beliau optimis rayuan tidak akan dibuat namun sekiranya keadaan bertukar sebaliknya, katanya, KEADILAN, Pakatan Rakyat dan penyokong Anwar perlu meneruskan perjuangan sehingga Anwar benar-benar bebas dari segala konspirasi.
“Sekiranya kes dirayu, kita akan teruskan perjuangan sama ada dari dalam mahkamah mahu pun di luar mahkamah sehingga Datuk Seri Anwar dibebaskan sepenuhnya dan kerajaan dibebaskan dari campurtangan politik,”tegas Surendren.
Semalam Pejabat Peguam Negara telah memfailkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi memebebaskan Anwar pada 9 Januari lalu.