Penangguhan perlaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mengundang rasa tidak puas hati kakitangan bawahan. Terutama mengenai struktur kenaikan gaji yang tidak seimbang antara pengurusan tertinggi dan kakitangan awam berpangkat rendah.
Rata-rata kakitangan biasa berpendapat kenaikan gaji sejumlah antara 7 hingga 13 peratus amat kecil berbanding peningkatan gaji yang dinikmati kakitangan kumpulan pengurusan premier antara 70 hingga 100 peratus.
Bagi Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar fenomena ketidakseimbangan kenaikan gaji itu hanya akan melebarkan jurang pendapatan di kalangan kakitangan awam dan mengurangkan motivasi mereka melaksanakan tugas.
“Bagaimanakah kerajaan boleh meneruskan skim SPBA ini sedangkan jurang pendapatan kakitangan awam semakin melebar. Kumpulan pengurusan tertinggi menerima kenaikan gaji yang banyak. Gaji bulanan mereka mencecah RM35,000 dan RM60,000
“Manakala kakitangan biasa ada yang hanya menerima kenaikan kira-kira RM80 sahaja,”bidas Mahfuz.
Beliau juga mempersoalkan perkembangan terbaharu yang dimaklumkan kepadanya bahawa penangguhan perlaksanaan SPBA cuma melibatkan kakitangan berpangkat rendah, iaitu kumpulan pelaksana dan sokongan. Pada masa sama ketua-ketua jabatan dan pengurusan tertinggi telah pun menerima gaji dari skim baharu itu.
“Saya mendapat maklumat penangguhan SPBA tidak melibatkan kumpulan pengurusan premier ( Jusa dan Turus), ia hanya melibatkan kumpulan pelaksana dan sokongan. Kita mendesak kerajaan melaksanakan penangguhan itu di semua peringkat
“Kerajaan perlu memberi penjelasan tentang surat perlantikan (kenaikan gaji) yang dibuat. Adakah kerajaan telah mendapat perkenan Agong untuk perlaksanaan skim ini. Kalau mendapat perkenan bilakah tarikhnya, kerana jawatan premier mempunyai hubungan langsung dengan Agong,”ujarnya.
Mahfuz menekankan agar kerajaan mengkaji dengan teliti struktur gaji kakitangan bawahan bagi mengurangkan jurang pendapatan serta menjimatkan peruntukan kewangan yang dikeluarkan bagi kumpulan pengurusan tertinggi.