Pembebasan Datuk Seri Anwar dari tuduhan jenayah seksual adalah mutlak. Sewajarnya pihak-pihak yang menjadi sekutu kepada UmnoBN membersihkan dosa yang diperbuat sepanjang sedekad lalu dengan tidak lagi mencaci peribadi Anwar.
Bagaimanapun itu tidak berlaku. Bukan sahaja media arus perdana tidak menghentikan fitnah, malah institusi ulama kerajaan BN juga tidak mahu melepaskan diri dari terus-menerus diperkuda oleh pemimpin Umno. Terbaharu, ulama digunakan untuk menuduh Anwar menyokong amalan homoseksual dan gay lewat komennya kepada stesen penyiar BBC akan mengubah beberapa undang-undang lapuk di Malaysia ketika ditanya mengenai hak asasi golongan transgender.
Apakah yang dimaksudkan Anwar mengubah undang-undang lapuk itu? Begitu banyak undang-undang yang tidak menjamin keadilan, termasuklah undang-undang agama. Umum masih ingat apabila Anwar mengadu kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur agar mendakwa Saiful atas kesalahan qazaf kerana menuduh diliwat tanpa membawa 4 saksi. Pendakwa syarie bukan sahaja enggan mendakwa malah akhirnya Menteri Agama Jamil Khir meminta Mahkamah Tinggi Syariah menolak kes itu. Inilah undang-undang lapuk yang mesti dipinda demi menegakkan keadilan.
Hujah songsang
Ulama kerajaan BN bermati-matian memahamkan rakyat bahawa Anwar telah terpesong dengan ajaran songsang Barat. Anwar mengambil kemajuan Barat termasuk budaya homoseksual dan gay untuk memajukan Malaysia. Apakah yang mereka tahu mengenai kemajuan dan peradaban? Ketika Anwar TPM, beliau memperkenalkan dialog antara tamadun. Mempertemukan tokoh-tokoh pemikir Barat dan Islam di Malaysia. Antara yang pernah dipertemukan ialah pemikir Sammuel Hutington penulis buku Clash of Civilization dan Dr Yusof Qardawi. Sehingga ke hari ini negara Barat dan Arab menghormati Anwar sebagai penyatu antara pemikiran timur dan barat
Apakah kerja ulama kerajaan BN ketika itu, tidak lain menuruti arahan Dr Mahathir mencipta dalil Islam tidak mewajibkan hukum Hudud dilaksanakan. Ketika itu PAS meluluskan Hudud di Kelantan. Ketika Hudud diluluskan di Terengganu pada 2002, alasan lebih indah diberikan. Hudud tidak termasuk dalam rukun Islam atau Iman. Jika inilah fatwanya, maka menguruskan jenazah, pengharaman anjing dan babi atau dilarang memakan riba juga tidak wajib dituruti kerana bukan rukun. Ulama inilah yang dinamakan ulama suk atau ulama jahat yang kerjanya memesongkan ketaatan manusia terhadap Allah kepada taat terhadap pemerintah semata-mata.
Ulama BN sejak sekian lama tidak langsung menentang fitnah ke atas Anwar. Ulama yang baik berada di dalam PAS. Mereka berani menentang kerajaan BN. Mereka tidak takut diISAkan malah dibunuh sekali pun.
Pertolongan Allah
Akhirnya usaha ulama ini berjaya. Anwar dibebaskan oleh hakim-hakim yang diperintah langsung oleh BN untuk menyumbat beliau ke penjara selama mungkin. Tidakkah ulama suk melihat takdir yang tidak terlawan oleh manusia telah membebaskan Anwar?
Anwar cuba dibunuh ketika di penjara. Pertama menggunakan racun arsenik pada 1999. Bagaimanakah sampel air kencingnya boleh diseludup keluar dari penjara dan didedahkan oleh makmal Australia tanpa pertolongan Allah? Ketika Anwar kesakitan tulang belakang yang menyebabkannya lumpuh, malah mati, lihatlah bagaimana Allah mendatangkan keberanian kepada hakim Mahkamah Persekutuan membebaskan beliau.
Kini hakim yang diperintah untuk mengembalikan Anwar ke penjara, mengikut skrip bicara yang diatur, pada hari terakhir menolak arahan. Tidakkah ulama suk melihat kemusnahan para konspirator?
Malangnya ulama ini segera mencari jalan untuk mengaitkan Anwar dengan golongan transeksual. Disebabkan mereka maka institusi ulama dipandang hina. Golongan muda lebih cenderung menerima demokrasi Barat kerana di dalamnya terdapat keadilan. Hal yang sama berlaku di negara Arab. Ulama suk mendukung diktator kejam Arab sehingga umat tidak melihat keadilan Islam sebaliknya memuji sistem barat.
Allah tidak memberkati negara yang dilingkari fitnah dan kejahatan. Umno mendabik dada membina ribuan masjid tetapi juga terpaksa menelan kelahiran 152,182 anak luar nikah dalam tempoh 2008 – 2010. Sekiranya ulama tegas menegur pemerintah maka tentulah hidayah akan dimasukkan ke hati umat Islam. Anak muda akan kembali kepada ajaran Islam sebenar dan melihat keadilan hakiki yang dibawanya.
Dengan adanya ulama suk maka maksiat akan berleluasa tanpa dapat dikawal. Sebabnya, teras agama telah dipesongkan dan umat akan terus tersesat selagi mana Umno kekal berkuasa.