Peruntuan Hari Raya Aidilfitri Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri agar tidak lupa wabak maut Covid 19 yang masih mengganas.
Beliau berpesan rakyat agar meneruskan pembatasan sosial dalam berhari raya dengan keluarga terdekat.
“Perayaan Eidulfitri tahun ini ternyata berbeda dari dasawarsa-dasawarsa yang lalu tatkala kita terkesan dengan serangan dan dampak wabak Covid-19. Musibah yang menimpa ini tidak pernah dialami sebelumnya.
“Justeru dalam keghairahan kita menyambutnya, usah pula kita korbankan aspek-aspek kesihatan seperti pembatasan sosial atau pemakaian topeng muka. Saya turut ingin menggesa agar perayaan Eidulfitri tahun ini harus disambut dengan kewaspadaan, kesederhanaan dan keinsafan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mahu rakyat menilai suasana politik semasa negara yang sedang bergulat dengan persoalan keabsahan dan cabaran ekonomi yang maha dahsyat.
Katanya, dituntut dari rakyat adalah kebijakan yang inklusif dan progresif merangkul kembali kekuatan ekonomi dan negara.
Oleh itu, Anwar menyeru kepada semua warga agar kerukunan dan perpaduan terus dipupuk dan dirancakkan sesuai dengan norma baharu kehidupan.
“Marilah bersama kita berusaha, berikhtiar dan berdoa agar pelbagai krisis yang melanda negara hari ini dapat ditamatkan sesegera mungkin. Mendoakan mudah-mudahan kita terus diberi kekuatan dan kesabaran.
“Selamat menyambut Hari Raya Eidulfitri 1441 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Maaf zahir dan batin,” katanya lagi.