Penolakkan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap penubuhan Suruhanjaya Di Raja pada 28 Januari lalu menimbulkan banyak tanda tanya . Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menempelak sikap Muhyiddin yang seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu .
“Siasatan polis dan SPRM sebelum ini tidak menghasilkan penemuan yang sepatutnya sebagaimana didedahkan oleh Pakatan Rakyat. Hanya satu Suruhanjaya Di Raja yang mampu membongkar kesemua penyelewengan
“Mengapa Muhyiddin tidak mahu suruhanjaya? Keengganannya menggambarkan Muhyiddin ketakutan yang amat sangat kerana sukar mengawal siasatan dan penemuan dalam suruhanjaya (tidak seperti siasatan polis) itu yang melibatkan pecah amanah dalam NFC,” katanya.
Dua minggu lalu, Mahfuz menyeru agar suruhanjaya dibentuk untuk menyiasat secara telus skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kerana ia melibatkan lebih daripada seorang menteri. Antara yang berbabit ketika kelulusan dana pinjaman RM250 dibuat pada 2007 ialah Menteri Pertanian Muhyiddin Yassin dan Najib Razak selaku Pengerusi Projek Impak Tinggi yang melulus projek itu.
“Penyelewengan jelas, kerana kerajaan meluluskan dana kepada syarikat yang tiada pengalaman dalam penternakan. Rakyat mahu tahu apakah peranan Muhyiddin sebagai menjadi Menteri Pertanian ketika itu.
“Saya cabar Najib yang popular dengan program tranformasinya agar menubuhkan SDR jika beliau benar-benar telus,” katanya
Mahfuz juga meminta kerajaan bukan sahaja membekukan aset NFC tetapi kesemua anak-anak syarikat berkaitan NFC kerana terdapat dakwaan dana diselewengkan melalui beberapa syarikat tersebut. Mengenai kenyataan terbaharu Ketua Audit Negara menolak dakwaan dana RM250 juta diluluskan sebelum perjanjian dibuat, Mahfuz mempersoalkan fakta itu kerana sebelum ini Jawatankuasa Kira-kira Parlimen (PAC) telah menemui fakta sebaliknya.
“Perkara mengelirukan ini amat memerlukan SDR bagi menyelesaikannya kerana PAC telah pun memanggil pegawai di Kementerian Pertanian menjelaskan perkara itu (mengenai dana) di hadapan Pengerusi PAC Datuk Azmi Khalid. Rakyat bingung mana satu yang betul, PAC atau Ketua Audit?” soalnya.
Mengulas isu sama, ahli parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang mendesak suruhanjaya ditubuhkan berikutan ketidak-telusan siasatan polis sebelum ini.
“Konspirasi ini tidak seharusnya dibiarkan, skandal ‘kondominium lembu’ NFCorp menjadi satu simbol kegagalan pentadbiran Najib dalam mencegah rasuah dan mengetuai kerajaan yang telus dan bertanggungjawab,” kata Lim.