Menteri Besar Perak Dr Zambry Abdul Kadir masih gagal menyingkirkan pengaruh bekas MB Perak Tajol Rosli Ghazali dari bertanding di Perak dalam pilihanraya umum akan datang.
Setiausaha,Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Salman Haji Saleh berkata Tajol kelihatan semakin yakin untuk mempertahankan kerusinya di Pengkalan Hulu biar pun dikepung pengaruh Dr Zambry
“Dewan Pemuda PAS Negeri Perak melihat masih terdapat kekuatan mantan MB Perak, Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Mohamad Ghazali sepertimana ayahandanya yang juga pernah menjadi Menteri Besar Perak pada tahun 1957 hingga 1960 iaitu Allahyarham Tan Sri Mohamad Ghazali Jawi.
“Rakyat Negeri Perak tentu mengetahui bahawa pernah berlaku perselisihan faham antara Allahyarham Tan Sri Ghazali dengan Seri Paduka Sultan Perak ketika itu, Allahyarham Sultan Idris Shah kerana enggan meletak jawatan ketika itu.
“Dengan melihat temu bual Tan Sri Tajol Rosli baru-baru ini yang begitu yakin tentang kedudukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Pengkalan Hulu yang kini masih disandangnya.
“Walaupun tindakan drastik setelah Barisan Nasional (BN) Negeri Perak tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun 2008 dahulu di mana Tan Sri Tajol Rosli telah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak dan juga Ketua Umno Bahagian Gerik ketika itu,” katanya.
Tambah Salman, biarpun selepas kekalahan pada 2008 Tajol dilihat kurang menyerlah namun kini bekas MB itu kelihatan menguatkan kembali pengaruhnya di persada politik Perak.
“Melihat daripada kenyataan Tan Sri Tajol Rosli tersebut, adakah beliau masih dikekalkan pada PRU 13 nanti? Adakah juga Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir masih gagal menyingkirkan Tan Sri Tajol Rosli pada PRU 13 nanti walaupun mempunyai hasrat yang kuat ke arah itu?
“Setelah kehadiran Dato Seri Zambry di Gerik tempohari nampaknya Tan Sri Tajol Rosli mempunyai keyakinan untuk kekal dan ini menunjukkan bahawa perbincangan antara mereka berdua menemui jalan buntu,” katanya.