Lim Guan Eng
Kadar pengangguran telah naik mendadak dari 3.2% pada bulan Januari kepada 5.0% pada bulan April 2020. Kadar bulan April ini adalah yang tertinggi dalam beberapa dekad. Ia akan naik lebih tinggi lagi kerana banyak syarikat masih lagi dalam proses memberhentikan pekerja mereka. Di kala keadaan ekonomi yang semakin teruk, ramai rakyat Malaysia dan banyak perniagaan tempatan tidak bersedia untuk menghadapi tamatnya tempoh moratorium ke atas bayaran balik pinjaman mereka.
Saya berharap kerajaan akan melanjutkan tempoh moratorium sehingga ekonomi negara mula pulih. Sebarang perlanjutan akan membantu rakyat biasa merancang obligasi kewangan mereka dengan lebih baik, dan meringankan sebarang kesukaran hidup. Tiada gunanya kita memufliskan sesiapa dan memburukkan kemelesetan ekonomi yang kita harungi bersama sekarang.
Menurut Perdana Menteri, moratorium selama 6 bulan ini dianggarkan bernilai RM100 bilion. Seperti yang dilaporkan oleh Menteri Kewangan, sebanyak RM47.5 bilion telah dimanfaatkan setakat 19 Jun 2020. Saya yakin lebih banyak boleh dilakukan kerajaan.
Oleh demikian, saya meminta supaya pihak kerajaan melanjutkan tempoh moratorium untuk 6 bulan lagi.