Dewan Pemuda PAS Negeri Perak meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menyiasat isu tanah seluas tiga ekar di kawasan Ampang, Ipoh yang telah dijanjikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Gunung Rapat, Ipoh yang kini telah dimiliki oleh Persatuan Bolasepak Negeri Perak (PAFA).
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata tanah yang dipohon untuk membina bangunan baru sekolah tersebut yang telah dijanjikan oleh Datuk Bandar Raya Ipoh pada 19 Oktober 2011 yang lalu menjadi sebaliknya. Oleh itu, menurutnya SPRM perlulah membuka siasatan.
“Walaupun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menjanjikan peruntukan RM 2.5 juta untuk membina bangunan baru sekolah tersebut di tanah yang dijanjikan oleh Datuk Bandar Raya Ipoh itu, malangnya telah dikurniakan kepada PAFA. Umum maklum bahawa PAFA turut memiliki tanah di Meru Raya, Ipoh yang dikatakan telah dijual dan perkara yang sama juga tanah di Ampang, Ipoh yang baru dimiliki turut dijual kepada syarikat yang sama juga.
“Justeru, kami mendesak penjelasan Kerajaan Negeri Perak dan Datuk Bandar Raya Ipoh berkaitan tanah tiga ekar di Ampang tersebut? Yang keduanya, kami mendesak penjelasan daripada PAFA berhubung penjualan tanah di Meru Raya dan Ampang tersebut? Kami ingin mengetahui, kepada syarikat manakah tanah tersebut dijual dan berapakah hasil penjualannya? Kami juga ingin mengetahui, adakah PAFA mengikut peraturannya ketika melakukan penjualan tanah tersebut?
“Ini kerana PAFA yang di daftarakan kepada JPPM perlu mengikut Perlembagaannya dan maklumat yang kami terima, PAFA telah melanggar Perlembagaannya iaitu memberikan notis Mesyuarat Agung Khas tidak di dalam tempoh yang dibenarkan kepada Ahli Persidangannya. Kami musykil kerana dua tanah telah dijual oleh PAFA dalam tempoh atau jangkamasa yang singkat dan seolah-olah PAFA kini menjadi beroka tanah baru di Perak!” katanya