Umno dalam mesyuarat malam tadi mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional.
Parti itu memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan dalam sidang media selepas mesyuarat biro politik majlis tertinggi parti itu di Menara Dato Onn.
“Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri dari menyokong Perikatan Nasional dan akan memberi syarat baru kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.
“Umno akan mencadangkan kepada jawatankuasa pemandu Muafakat Nasional agar Muafakat Nasional didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah,” katanya dipetik.
Pemimpin Umno sebelum ini menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Bersatu terutama apabila jawatan ketua menteri Sabah diserahkan kepada parti itu selepas pilihan raya negeri baru-baru ini.
Manakala MN pula merupakan gagasan kerjasama antara PAS dan Umno sebelum disertai Bersatu pada Ogos lalu.
Ketika ditemui selepas itu, Ahmad berkata keputusan yang dicapai dalam mesyuarat malam ini telah dipersetujui sebulat suara oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno di setiap negeri tanpa ada sebarang bantahan.
Katanya, Umno juga akan memaklumkan mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Tambahnya, Umno berpandangan bahawa kestabilan politik sangat penting dan pertumbuhan ekonomi mesti ditingkatkan
Oleh itu, katanya, sebarang keputusan yang Umno lakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara.
Diminta mengulas sama ada ketetapan Umno malam ini dibuat kerana parti itu mengambil pendirian untuk menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim, beliau mengambil sikap berteka-teki.
“Ada saya cakap macam tu ke?” katanya ringkas.
Mesyuarat malam tadi dipengerusikan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi.