Perhimpunan peneroka seluruh negara di Putrajaya membantah usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di bursa saham akan berjalan mengikut perancangan pada 30 Mac ini.
Pengerusi Biro Peneroka dan Orang Asal KEADILAN Suhaimi Said berkata perarakan besar-besaran itu akan berlansung secara aman bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri Najib Razak betapa seriusnya peneroka menolak rancangan BN merompak kewangan Felda.
“Negeri-negeri seperti Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan malah Sabah akan akan menghantar wakil ke perhimpunan peneroka. Kita akan berarak dari Masjid Putra menuju ke Pejabat Perdana Menteri pada jam 2.30 petang, selepas solat jumaat.
“Sebelum itu, pada 29 Mac kita akan menganjurkan ceramah perdana isu Felda di Kompleks Sukan Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Dijemput semua peneroka dan bukan peneroka hadir ke ceramah dan perhimpunan bagi menyampaikan mesej kita kepada kerajaan BN,” katanya.
Mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan bahawa FGVH mencatat keuntungan dalam pelaburan di luar negara, Suhaimi mempertikaikan fakta yang diumumkan. Katanya, Ahmad perlu membentangkan penyata kira-kira yang jelas, bukannya berkata terdapat keuntungan kemudian minta rakyat menyemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Saya minta dia keluarkan penyata (keuntungan) di setiap negara selama beberapa tahun. Barulah kita tahu FGVH untung atau rugi.
“Memang ada di antara anak syarikat yang untung tetapi secara keseluruhan rugi. Kalau ada benar keuntungan kita mahu tahu syarikat yang mana,” dakwa Suhaimi.