Amir Hadi
Saya ambil maklum isu yang berkait dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY), yang membawa kepada penahanan keatas beberapa anggota persatuan aktivis pelajar berikut.
Saya berpandangan bahawa kenyataan yang dikeluarkan adalah kenyataan yang bersifat perbahasan akademik. Sebarang bantahan atau ketidaksetujuan keatas kenyataan tersebut mestilah dihujahkan secara akademik, dan bukan dengan intimidasi.
Universiti seharusnya menjadi tempat yang selamat buat mahasiswa dan pensyarah untuk berhujah, mengeluarkan kenyataan dan berbincang secara akademik, untuk sebarang isu.
Ini selari dengan keputusan Peguam Negara untuk menggugurkan pertuduhan keatas bekas pensyarah Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom dari tuduhan dibawah Akta Hasutan, berkait kenyataan beliau berhubung krisis perlembagaan Perak.
Merakam video ketika anggota polis atau pihak berkuasa menjalankan tugas, bukan lah satu kesalahan jenayah.
Terdapat beberapa kes, yang mana rakaman video menjadi keterangan penting sehingga kes digugurkan. Membuktikan bahawa adalah penting rakaman dibuat dan ia diterima oleh mahkamah. Sekiranya tidak ada kesalahan yang dibuat oleh pihak polis ketika menjalankan tugas, tidak ada apa yang perlu ditakutkan.
Sekiranya ia terus menjadi Isu, saya ingin mencadangkan setiap anggota polis dibekalkan dengan kamera badan, agar setiap tindakan dapat diakses, seperti yang telah dibuat di banyak negara lain.
Suka juga untuk saya ingatkan bahawa Akta Hasutan adalah akta lapuk yang digubal penjajah sebelum merdeka. Ia telah diguna bagi menekan pejuang kemerdekaan. Pihak British yang memperkenalkan undang-undang ini sendiri, telah memansuhkan undang-undang ini dengan pendakwaan terakhir pada tahun 1972.
Saya menggesa agar intimidasi keatas mahasiswa yang masih berlanjutan dihentikan, serta pertuduhan yang dibuat digugurkan.